Rafizi kemuka 'formula' selamatkan Sapura

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengemukakan beberapa formula bagi menyelesaikan krisis aliran tunai yang melanda syarikat minyak dan gas kedua terbesar di dunia, Sapura Energy Bhd (SEB).

Rafizi berkata, beliau telah menerima pandangan tokoh-tokoh pakar industri minyak dan gas negara dengan mengikuti tindakan-tindakan yang diambil pengurusan baharu SEB.

Menurutnya, antara solusinya adalah dengan menjalankan rasionalisasi projek dan portfolio untuk menghentikan sebarang operasi atau projek yang membazir, tidak menguntungkan atau tidak mampu disiapkan.

“Contohnya, menghentikan penglibatan dalam projek-projek yang mengheret kedudukan kewangan SEB.

“Selain itu, mengadakan rundingan dengan pemiutang SEB, termasuk vendor-vendor untuk menstrukturkan kembali pembayaran hutang.

“Ini termasuklah mendapatkan persetujuan bersama bahawa pemiutang perlu memberi diskaun kepada SEB kerana lebih baik mereka mendapat sebahagian sahaja hutang daripada tidak mendapat apa-apa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rafizi sebelum ini dilihat antara sosok yang lantang bersuara berkenaan kemelut kewangan yang dihadapi SEB dan turut bertegas menolak cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggesa kerajaan menyelamatkan SEB yang kini berdepan risiko muflis.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, penyemakan kembali struktur gaji dan upah eksekutif kanan perlu dilaksanakan untuk mengelakkan pembayaran melampaui batas seperti yang berlaku sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Syarikat berkenaan juga harus menumpukan sumber kewangan dan tenaga kerja kepada projek-projek yang memberi pulangan yang baik untuk mengukuhkan aliran tunai.

“Selain itu, mereka juga boleh mencari pelabur baharu melalui penerbitan saham baharu pada harga lebih rendah, sama ada dalam bentuk saham ekuiti atau waran berbentuk pinjaman untuk mengukuhkan aliran tunai,” jelasnya.

Ujarnya, di bawah kepimpinan baharu SEB yang dibarisi tokoh-tokoh profesional ternama negara, beliau yakin mereka sedang berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan syarikat itu tanpa mengheret dana rakyat seperti yang didesak oleh Najib.

Antaranya, Pengerusi Lembaga Pengarah SEB yang baharu, Tan Sri Datuk Seri Shamsul Azhar Abbas merupakan bekas Presiden Petronas yang telah mengemudi industri minyak dan gas negara sejak tahun 1980an.

“Ketua Pegawai Eksekutif SEB yang baharu, Datuk Mohd Anuar Taib pula sebelum SEB, beliau ialah Pengerusi Shell Malaysia sebelum memimpin perniagaan huluan minyak dan gas Petronas sebagai Naib Presiden Eksekutif.

“Tenaga profesional yang dipimpin oleh tokoh-tokoh nasional yang berkepakaran itu wajar diberi ruang menjalankan amanah mereka tanpa perlu ada gangguan politik atau campur tangan.

“Lebih teruk lagi, perangai licik Najib yang ingin mempolitikkan isu aliran tunai SEB demi meraih sokongan rakyat sebenarnya tidak membantu usaha mereka,” katanya.