[VIDEO] Isu penjualan tanah: Pemuda PH gesa siasatan polis, SPRM

Mohamad Hairul Amir (tengah) bersama Khairol Najib (kanan) dan Kam Foon menunjukkan kenyataan bersama yang dikeluarkan berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang.
Mohamad Hairul Amir (tengah) bersama Khairol Najib (kanan) dan Kam Foon menunjukkan kenyataan bersama yang dikeluarkan berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang.
A
A
A

IPOH - Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak menggesa siasatan segera dilakukan ke atas penjualan tanah yang dicadang dibangunkan sebagai lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Ketua Pemuda PH negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, siasatan secara menyeluruh perlu agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

"Saya sebagai rakyat Malaysia dan pembayar cukai mempunyai hak untuk memastikan setiap keputusan kerajaan negeri yang ada hubung kait dengan isu kewangan adalah dipantau dan berakauntabiliti khususnya dalam isu ini yang begitu penting untuk rakyat Perak.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat memulakan prosiding untuk menyiasat isu penjualan tanah ini dan mendedahkan kepada rakyat siapa sebenarnya dalang dalam isu ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Khairol Najib Hashim dan Ketua Pemuda DAP, Chaw Kam Foon.

Mohamad Hairul Amir yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak berkata, laporan itu antara lain menggesa pihak berkuasa memulakan siasatan dengan kadar segera.

Katanya, laporan isu sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Perkara yang dibangkitkan dalam Sidang Dewan ini telah menjadi persoalan dan perhatian umum, sebab itu kita buat laporan supaya pihak berkuasa boleh ambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya, polis dan SPRM mempunyai tanggungjawab serta kuasa untuk melaksanakan siasatan ke atas isu penjualan tanah ini," katanya.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membuat laporan polis berhubung perkara itu dan memberi jaminan kerajaan negeri akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

Isu penjualan tanah lapangan terbang terbabit timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah berkenaan sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Bagaimanapun Saarani memaklumkan bahawa penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan terbabit.