Jualan bahan basah melonjak, keperluan harian mencukupi

Pengguna membeli barangan basah sebagai persediaan menyambut Ramadan. (Gambar kecil dari kiri: Rodudin, Mohd Razif, Baharuddin)
Pengguna membeli barangan basah sebagai persediaan menyambut Ramadan. (Gambar kecil dari kiri: Rodudin, Mohd Razif, Baharuddin)
A
A
A

KUANTAN - Permintaan terhadap barang basah terutamanya ayam, daging dan ikan melonjak dua kali ganda susulan orang ramai membuat persediaan menyambut Ramadan.

Tinjauan Sinar harian di Pasar Besar Kuantan dan Pasar Beserah mendapati barangan keperluan basah dan harian seperti minyak, bawang dan sayur-sayuran mencukupi dan orang ramai tidak perlu risau.

Peniaga ayam segar, Rodudin Shah Jamil, 54, berkata, permintaan ayam meningkat hampir dua kali ganda pada musim Ramadan kali ini.

Katanya, tahun lalu permintaan ayam segar suram berikutan wabak Covid-19 melanda seluruh negara sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Tapi, alhamdulillah, Ramadan kali ini permintaan ayam kembali meningkat selepas kerajaan membenarkan pembukaan sektor ekonomi lebih meluas.

"Ramadan tahun lalu, nak jual 100 ekor ayam segar sehari pun susah, namun kali ini permintaan melonjak sehingga hampir 150 hingga 200 ekor sehari," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Besar Kuantan pada Sabtu.

Senada dengan Rodudin, Mohd Razif Zakuan, 30, mengakui permintaan ayam melonjak dua kali ganda bukan sahaja daripada pembeli biasa, tetapi juga daripada peniaga di bazar Ramadan, restoran selain hotel yang kembali beroperasi.

Artikel Berkaitan:

Fatimah BB memaklumkan bekalan asas masih mencukupi.
Fatimah BB memaklumkan bekalan asas masih mencukupi.

"Setakat ini, bekalan ayam masih mencukupi dan kami peniaga ayam tiada masalah untuk membekalkan barangan basah kepada pengguna.

"Malah, harga ayam juga masih berpatutan sekitar RM8.90 bagi ayam belum dipotong dan RM9.60 pula yang siap dipotong oleh penjual," ujarnya yang sudah 10 tahun menjadi peniaga ayam segar.

Peniaga ikan, Zarina Abdullah, 53, berkata, pengunjung yang datang ke pasar lebih ramai berbanding sebelum ini kerana masing-masing membuat persiapan untuk menyambut Ramadan.

"Bekalan ikan juga mencukupi untuk menampung keperluan pembeli untuk persiapan Ramadan," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit, Fatimah BB Saip Khan, 59, berkata, semua barang keperluan asas secara keseluruhannya mencukupi setakat ini.

"Dari segi telur, tepung, bawang putih, bawang besar, bawah merah, dan pelbagai keperluan asas masih boleh menampung permintaan daripada pengguna.

"Namun buat masa ini, kita berdepan dengan kekurangan minyak masak peket kerana stok bahan mentah itu sukar diperoleh. Tetapi minyak masak botol masih mudah diperoleh," katanya.

Pengguna, Baharuddin Abbas, 59, membuat persiapan Ramadan seperti biasa dengan membeli barangan keperluan di pasar yang terletak berdekatan dengan rumah.

"Saya hanya membeli barang keperluan ala kadar sahaja dan sudah menyenaraikan barang-barang yang perlu bagi mengelakkan pembaziran selain mahu berjimat.

"Kalau kita lihat orang ramai tidak hanya tertumpu di pasar basah untuk membeli barangan keperluan harian kerana ada juga memilih pasar raya. Jadi tiada kesesakan di pasar," katanya.