KPLB sedia kaji semula kos bina, baiki PPRT

Abdul Rahman (dua dari kanan) menyerahkan kunci rumah kepada penerima di Kampung Peruang, Lipis pada Sabtu. - Foto KPLB
Abdul Rahman (dua dari kanan) menyerahkan kunci rumah kepada penerima di Kampung Peruang, Lipis pada Sabtu. - Foto KPLB
A
A
A

LIPIS - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersedia mengkaji semula kos pembinaan dan baik pulih Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berikutan berlaku kenaikan harga barang.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pada masa kini kos pembinaan rumah PPRT bagi B40 di luar bandar dianggarkan RM56,000 di Semenanjung manakala kos baik pulih ialah RM13,000.

Menurutnya, kajian mengenai kos bina baharu PPRT dan baik pulih tersebut masih di peringkat KPLB kerana didapati kenaikan harga barang didorong pelbagai faktor seperti kos pengeluaran bahan oleh pengilang, kos import bahan-bahan binaan dari negara luar dan kadar upah pekerja pembinaan.

"Peningkatan kos ini menyebabkan ramai kontraktor kecil di kampung yang terbabit dalam projek membina rumah PPRT tidak mampu melakukannya kerana keuntungan yang rendah," katanya selepas penyerahan kunci rumah kepada mangsa kebakaran di Kampung Peruang dan penerima rumah PPRT di Kampung Ulu Teris di sini pada Sabtu.

Ujarnya, KPLB sedang melakukan libat urus dengan pelbagai agensi untuk mendapatkan cadangan sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri.

"Setelah dipersetujui oleh Jemaah Menteri, kita akan memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan menerusi pembentangan Bajet 2023,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman juga memberitahu kualiti rumah PPRT yang dibina mengikut spesifikasi ditetapkan oleh KPLB iaitu tiga bilik tidur dan satu bilik air untuk memberikan keselesaan penerima rumah.

"KPLB memperuntukkan sejumlah RM361 juta untuk PPRT di seluruh negara tahun ini dengan pecahan peruntukan bina baharu berjumlah RM178 juta bagi 2,503 buah rumah manakala baik pulih berjumlah RM182 juta untuk 11,453 buah rumah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memberitahu, bagi negeri Pahang pula, selain rumah PPRT, KPLB turut membina serta membaik pulih Rumah Kasih Keluarga Malaysia (RKKM) khas untuk mangsa banjir dan yang terkesan dengan bencana itu pada Disember tahun lalu.

"Pahang pula akan menerima peruntukan berjumlah RM43 juta bagi kedua-dua inisiatif (PPRT dan RKKM) di bawah KPLB ini," katanya lagi.