Pemburu haram warga asing cuba ambil kesempatan: Perhilitan

Abdul Kadir
Abdul Kadir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak menolak kemungkinan terdapat cubaan pemburu haram warga asing yang menceroboh hutan negara bagi memburu hidupan liar dilindungi.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dengan pembukaan sempadan negara pada 1 April, dijangka kes pelanggaran Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) akan meningkat.

"Kita percaya pemburu haram warga asing akan mengambil kesempatan dan menceroboh masuk ke hutan negara.

"Perhilitan akan mempertingkatkan risikan dan operasi bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengekang kesalahan terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah Abdul Kadir, pihaknya memohon masyarakat agar dapat menyalurkan maklumat sebarang kegiatan jenayah pemburuan hidupan liar.

Tegasnya, mana-mana individu yang menjalankan aktiviti kegiatan pemburuan haram, pencerobohan dan pelbagai kesalahan jenayah hidupan liar diingatkan agar menghentikan kegiatan itu atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh salurkan kepada Perhilitan di talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.

Januari lalu, Abdul Kadir memberitahu Sinar Harian, seramai 133 warga tempatan dan asing yang memburu hidupan liar dilindungi diberkas dengan nilai rampasan RM31.9 juta menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) sepanjang tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pecahan, suspek terdiri daripada 121 warga tempatan dan selebihnya warga asing membabitkan lima warga Kemboja, Myanmar (4), Indonesia (1), Pakistan (1) dan Thailand (1).