Kecederaan Adib tidak seperti dipukul

Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Ahmad Hafizam Hasmi (kiri) yang merupakan saksi ke-24 bersama Timbalan Pendakwa Raya Zafran Rahim Hamazah (kanan) hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Ahmad Hafizam Hasmi (kiri) yang merupakan saksi ke-24 bersama Timbalan Pendakwa Raya Zafran Rahim Hamazah (kanan) hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Corak kecederaan pada bahagian toraks yang diperiksa pada jasad anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim bukanlah kecederaan yang sering atau kebiasaannya dilihat akibat dipukul dengan objek tumpul, ditendang atau ditumbuk.

Perkara itu didedahkan oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasimi yang menjalankan bedah siasat terhadap mayat mangsa.

Sebaliknya, Dr Ahmad Hafizam berkata, kemungkinan yang paling boleh berlaku pada hari kejadian adalah jika benar Muhammad Adib berada di luar van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tersebut, mangsa berdiri dan menghadap ke arah belakang.

"Bahagian kiri si mati telah menerima impak hentaman daripada hujung belakang pintu sisi kiri hadapan van EMRS yang terbuka dan kenderaan sedang dalam pergerakan mengundur.

"Ia mengakibatkan kepatahan pada tulang rusuk kiri pertama hingga tujuh," katanya pada prosiding hari 15 Inkues Kematian Muhammad Adib di sini.

Menurutnya, bahagian hujung belakang pintu hadapan kiri EMRS yang keras, nipis serta menegak berpadanan untuk menyebabkan kepatahan yang seperti garis lurus menegak pada tulang rusuk tersebut.

"Impak daripada hujung belakang pintu hadapan kiri van EMRS juga mengakibatkan si mati terdorong ke hadapan dan jatuh dengan keadaan anggota atas terangkat ke hadapan," katanya.

Beliau berkata, bahagian rusuk kanan terhentak serta bergesel dengan kuat pada permukaan yang keras dan tertonjol seperti bahu jalan atau pun apa-apa struktur keras yang ada di sekitar tempat itu sehingga mengakibatkan kecederaan pada toraks kanan si mati.

Artikel Berkaitan:

"Pada pandangan saya, impak daripada dada kanan si mati yang kuat disebabkan kombinasi tolakan pintu van EMRS terhadap belakangnya dan juga momentum badannya yang masih ada apabila keluar daripada kenderaan itu," katanya.

Katanya, turutan kejadian yang menimpa mangsa berlaku terlalu pantas dalam masa 10 saat.

Dr Ahmad Hafizam berkata, berdasarkan corak kecederaan luaran dan dalaman yang dikesan pada jasad Muhammad Adib, beliau dan pasukannya telah diminta hadir ke lakonan semula kejadian yang dilakukan polis pada 22 Disember lalu.

"Saya diberitahu oleh pegawai penyiasat polis bahawa pemandu van EMRS Ahmad Shahril Othman yang berada bersama si mati memberitahu mangsa didapati tiada dalam kenderaan itu selepas trak bomba tiba-tiba mengundur secara mengejut dan menyebabkan Fire Rescue Tender (FRT) menghentam bahagian depan van EMRS ketika rusuhan," katanya. Menurutnya, berdasarkan laporan bedah siasat, beliau tidak dapat tentukan sama ada Muhammad Adib keluar daripada kenderaan secara sendiri atau ditarik orang lain.

"Walau bagaimanapun, bukti berdasarkan corak cedera luaran dan kepatahan tulang-tulang rusuk yang diperiksa, buat masa ini saya tidak dapat dengan cara selamat mengenepikan dakwaan bahawa si mati mengalami kecederaan tersebut akibat terhimpit di antara dua permukaan yang keras sehingga bukti-bukti sokongan lain yang boleh dipercayai diperolehi," katanya.

Terdahulu Dr Ahmad Hafizam yang berpengalaman selama lima tahun sebagai pakar dalam bidang itu memberitahu mahkamah bahawa tujuh tulung rusuk kiri patah dan dalam susunan garis lurus yang menegak.

Selain itu, dua tulang rusuk anggota bomba itu tertusuk pada paru-paru kanan Muhammad Adib sehingga menyebabkan berlakunya kebocoran paru-paru.

"Tulang rusuk kedua hingga lima patah pada bahagian hadapan dan sisi, tulang rusuk ketiga patah pada tiga tempat manakala tulang rusuk keempat patah dua tempat," katanya.