Mula sibuk berbelanja beli barang keperluan sambut Ramadan

Keadaan Pasar Awam Larkin yang dilihat mulai sesak dengan kehadiran orang awam yang mahu mendapatkan barangan keperluan harian. (Gambar kecil dari kiri: Siti Ainon. Saodah, Azif)
Keadaan Pasar Awam Larkin yang dilihat mulai sesak dengan kehadiran orang awam yang mahu mendapatkan barangan keperluan harian. (Gambar kecil dari kiri: Siti Ainon. Saodah, Azif)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasar basah sekitar bandar raya ini kembali sesak dengan kehadiran orang ramai yang rata-rata beragama Islam yang mahu membuat pembelian awal untuk menyambut Ramadan.

Tinjauan Sinar Harian di dua pasar basah di bandar raya ini mendapati, orang ramai sudah mula mengunjungi pekarangan pasar seawal jam 7.10 pagi.

Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura dan juga peralihan negara kepada fasa endemik juga dipercayai menjadi punca kehadiran pengunjung lebih ramai berbanding kebiasaannya.

Pengunjung, Siti Ainon Songkono, 62, memberitahu, dia datang ke pasar lebih awal kerana tidak mahu berangan keperluan habis dijual.

"Saya sampai awal hari ini sebab tidak mahu barang habis sebab tahu orang mesti ramai hendak sambut puasa esok. Biasanya saya datang setiap dua minggu tetapi sebab anak ada di rumah, jadi beli barang sikit untuk mereka.

“Tengok keadaan pun agak sibuk, biasa tidak ramai orang. Harap puasa kali ini lebih meriah selepas kita dua tahun tidak dapat ke mana,” katanya ketika ditemui di Pasar Larkin di sini, pada Sabtu.

Seorang lagi pengunjung, Saodah Jaafar, 62, berkata, dia berbelanja lebih kali ini berbanding kebiasaannya kerana mahu membuat persiapan dan bekalan ketika Ramadan ini.

“Kita beli barang lebih sikit kali ini untuk tambah-tambah bahan dan masak lauk esok. Tengok barang masih boleh dibeli tetapi kita harap tiada kenaikan (harga) hingga raya.

Artikel Berkaitan:

“Saya gemar beli barang di pasar kerana lebih banyak pilihan dan segar,” katanya.

Bagi Azif Ishak, 66, pula, dia datang ke pasar berkenaan untuk membeli barangan keperluan untuk bekalan selama seminggu keluarganya.

“Kita biasa datang beli untuk seminggu terus, jadi nanti tidak perlu datang banyak kali. Biasa datang beli ikan dan sayur-sayuran.

“Kita pun tidak belanja besar sangat, masih berjimat cuma kali ini ada barang lebih sikit beli untuk menyambut Ramadan esok,” katanya.