Fasa endemik: Semangat rakyat kembali meningkat

Pelancong dari luar negara mengunjungi tempat-tempat menarik ketika tinjauan pada hari pertama Fasa Peralihan Ke Endemik di sekitar Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang pada Jumaat. Foto Bernama
Pelancong dari luar negara mengunjungi tempat-tempat menarik ketika tinjauan pada hari pertama Fasa Peralihan Ke Endemik di sekitar Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Semangat rakyat kembali meningkat apabila dapat menjalani kehidupan seperti biasa selepas negara memasuki fasa endemik bermula 1 April dengan pelbagai kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan.

Peniaga, Sarina Mohd Som, 44, berkata, dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu kerajaan membenarkan operasi perniagaan seperti sedia kala memberikan beliau suntikan semangat untuk terus mencari rezeki menampung kehidupan keluarga.

Sarina
Sarina

Jelasnya, SOP tersebut amat membantu kebanyakan peniaga kecil dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka tambahan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga dibenarkan.

“SOP baharu seperti berniaga lebih masa dan sebagainya sangat membantu peniaga kecil mengembangkan perniagaan mereka. Lebih-lebih lagi, pengeluaran KWSP yang sangat membantu dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban peniaga.

“Sudah tentu ia menjadi satu harapan baharu serta dapat menyuntik semangat untuk terus mencari rezeki,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Peniaga gerai makan, Muhammad Khairul Fikri Abdul Khalil, 30, berkata, kelonggaran SOP tersebut membolehkannya menyusun atur semula waktu operasi, sekali gus memberikan pulangan modal yang lebih kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Khairul Fikri
Khairul Fikri

“Saya sebagai pengusaha cafe amat berasa lega apabila kelonggaran dari segi SOP ini sedikit sebanyak memberikan impak yang positif pada perniagaan saya.

“Dengan pembukaan sempadan juga dapat menarik lebih ramai orang luar datang ke negara kita, sekali gus memberikan impak positif pada ekonomi tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, Imam Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Abas Mohamad Yusof berkata, jemaah seronok apabila dapat menunaikan solat berjemaah secara rapat selepas kebenaran diberikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Abas
Abas

“Saya berasa seronok walaupun jarak dibenarkan mengikut sejadah. Dalam masa sama menaikkan semangat jemaah untuk datang ke masjid. Sudah dua tahun kita ada penjarakan,” jelasnya.

Pelajar, Muhammad Nasrul Aimin Zabidi, 23, berkata, dengan kelonggaran yang diberikan itu, membuatkan dirinya lebih bersedia untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama keluarga.

Muhammad Nasrul
Muhammad Nasrul

“Sudah dua tahun kita tidak dapat merasakan suasana sebegini. Jadi, saya harap dengan kelonggaran yang diberikan, orang ramai masih mengekalkan SOP ditetapkan.

Bagi Pensyarah, Ahmad Firdhaus Arham, 37, berkata, dengan kelonggaran sempadan negara, menjadikan ekonomi negara mampu untuk berkembang seperti sediakala.

Ahmad Firdhaus
Ahmad Firdhaus

“Dalam masa sama, bagi mereka yang rindu untuk melancong boleh pergi ke mana-mana ke destinasi yang mereka idamkan tanpa prosedur terlalu ketat,” ujarnya.