'Rasa nikmat boleh rapat saf'

Jemaah di Masjid Sultan Idris Shah II, di sini merapatkan saf solat Jumaat setelah dibenarkan mulai 1 April 2022. (Gambar kecil: Ahmad Akhdhorr (kiri) dan Azhar )
Jemaah di Masjid Sultan Idris Shah II, di sini merapatkan saf solat Jumaat setelah dibenarkan mulai 1 April 2022. (Gambar kecil: Ahmad Akhdhorr (kiri) dan Azhar )
A
A
A

IPOH - Jemaah masjid dan surau di Perak meluahkan rasa syukur dan gembira mereka selepas saf solat berjemaah kembali boleh dirapatkan mulai Jumaat.

Tinjauan Sinar Harian di Masjid Sultan Idris Shah II iaitu Masjid Negeri Perak, di sini mendapati para jemaah memanfaat peluang itu dengan memenuhkan ruang solat yang disediakan.

Seorang jemaah, Azhar Sairun, 53, berkata, perkara itu memang amat dinanti-nantikan selama ini oleh umat Islam.

Menurutnya, tiada lagi alasan untuk umat Islam tidak hadir solat berjemaah di masjid dan surau.

"Memang terasa nikmatnya dapat rapatkan saf solat berjemaah di masjid. Dah lama tak rasa solat ramai-ramai macam ini.

"Saya harap umat Islam dapat memanfaatkan peluang ini dengan kembali mengimarahkan masjid," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Masjid Sultan Idris Shah II, di sini pada Jumaat.

Seorang lagi jemaah, Ahmad Akhdhor Muhd Rivai, 43, berkata, di sebalik kelonggaran itu juga, umat Islam masih perlu turus menjaga disiplin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, sebarang SOP tidak boleh diambil ringan agar kebenaran diberikan itu berkekalan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh berkata, pengumuman kebenaran merapatkan saf itu benar-benar dimanfaatkan oleh jemaah apabila bilangan yang hadir pada solat Subuh dan solat Jumaat bertambah.

Abd Farid (berdiri) melihat proses pemberian vaksin kepada kanak-kanak di PPV Masjid Sultan Idris Shah II, di sini pada Jumaat.
Abd Farid (berdiri) melihat proses pemberian vaksin kepada kanak-kanak di PPV Masjid Sultan Idris Shah II, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, solat Jumaat yang sebelum ini hanya boleh menerima 480 jemaah disebabkan SOP meningkat sehingga 1,400 jemaah selepas saf dirapatkan.

"Di sebalik kebenaran merapatkan saf itu, kita tetap menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan. Jemaah masih digalakkan membawa sejadah sendiri dan mengambil wuduk dari rumah.

"Kita juga turut membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di dewan kuliah masjid bagi membolehkan jemaah mengambil suntikan dos penggalak dan vaksin kepada kanak-kanak," katanya.

Abd Farid berkata, pemberian vaksin di masjid itu sebagai menyahut titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang mahu jawatankuasa masjid dan surau proaktif mengajak orang ramai mengambil dos penggalak vaksin Covid-19.

Katanya, program pemberian vaksin tersebut akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 1 dan 8 April bermula pada jam 11 pagi hingga 4 petang.