Hutang RM4.22 juta tertunggak akibat kelemahan pengurusan JPVNP

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Kelemahan pengurusan Akaun Belum Terima Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang (JPVNP) menyebabkan RM4.22 juta atau 51.2 peratus pinjaman Skim Pinjaman Ternakan (SPT) masih tertunggak walaupun tempoh bayaran balik pinjaman telah tamat.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri serta Pengauditan Pematuhan Jabatan Negeri yang dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Jumaat, kerajaan negeri berisiko kehilangan hasil kerana RM1.18 juta daripada jumlah tunggakan pinjaman itu telah melebihi Akta Had Masa.

SPT diperkenalkan pada 2,000 bagi menggantikan Skim Pawah yang dimulakan pada 1959 dan menawarkan pinjaman haiwan ternakan seperti lembu, kerbau dan biri-biri melalui kaedah pinjaman baka dan induk haiwan tersebut.

"Berdasarkan perjanjian SPT, peminjam akan membayar balik semua pinjaman bersama bayaran perkhidmatan bermula tahun kedua hingga tahun keempat bagi pinjaman ternakan kambing atau biri-biri dan tahun ketiga hingga tahun kelima bagi lembu dan kerbau.

"Jumlah pinjaman yang perlu dibayar adalah harga ternakan termasuk bayaran perkhidmatan sebanyak empat peratus daripada nilai ternakan. Pemberian terakhir SPT oleh JPVNP adalah pada 2014 dan pembayaran balik seharusnya tamat pada 2018 dan 2019 (mengikut jenis ternakan)," menurut laporan itu.

Bagaimanapun, semakan audit terhadap 236 sampel dengan jumlah tunggakan RM4.22 juta setakat Oktober 2020 mendapati seramai 113 atau 47.6 peratus peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman sejak pinjaman diluluskan berjumlah RM1.71 juta dengan 100 daripadanya ialah peminjam individu.

Daripada 113 peminjam itu, 69 peminjam dengan pinjaman RM1.18 juta mempunyai tempoh tunggakan pinjaman melebihi enam tahun, selain sembilan peminjam individu dan wakil koperasi sudah meninggal dunia manakala dua peminjam kategori syarikat telah dibubarkan.

Selain itu, dapatan audit juga melaporkan 123 atau 52.1 peratus daripada peminjam masih mempunyai baki pinjaman tertunggak berjumlah RM2.51 juta dengan 10 peminjam individu, lima wakil peminjam koperasi dan persatuan sudah meninggal dunia manakala tiga syarikat telah dibubarkan.

Artikel Berkaitan:

"Semakan audit mendapati notis amaran kepada peminjam tidak dikeluarkan mengikut tempoh ditetapkan dalam syarat perjanjian SPT. Notis hanya dikeluarkan bermula 2007. Tindakan undang-undang pula lewat diambil kerana Notice of Reminder (NOR) hanya dikeluarkan Penasihat Undang-Undang pada 2019 manakala Notice of Demand (NOD) terhadap 29 peminjam hanya dikeluarkan pada 2020," menurut laporan itu.

Selain itu, mekanisme pemantauan JPVNP juga didapati kurang berkesan kerana pemantauan melalui mesyuarat tidak dijalankan mengikut tempoh ditetapkan manakala lawatan fizikal tidak dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan pemantauan terhadap peminjam yang masih mempunyai tunggakan di peringkat daerah sukar dibuat dan lewat diambil tindakan.

Sementara itu, jawapan JPVNP pada 30 April 2021 memaklumkan setakat 12 April 2021, sejumlah RM95,023.32 bayaran SPT berjaya dikutip termasuk bayaran yang dibuat waris peminjam yang telah meninggal dunia dan enam peminjam yang tidak pernah membuat bayaran sejak pinjaman diluluskan.

Mesyuarat pada 31 Mac 2021 pula memutuskan supaya masalah peminjam diperincikan bagi tindakan seterusnya seperti peminjam yang perlu diambil tindakan mahkamah, peminjam yang boleh membuat pengurangan bayaran serta mereka yang mempunyai masalah ternakan mati dalam masa terdekat selepas menerima ternakan. - Bernama