Pelaksanaan gaji minimum diharap tidak sebabkan kenaikan harga barang

MTUC pada Jumaat menyerahkan memorandum kepada KPDNHEP bagi memohon pemantauan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dihadapi negara.
MTUC pada Jumaat menyerahkan memorandum kepada KPDNHEP bagi memohon pemantauan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dihadapi negara.
A
A
A

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor menegaskan, pihaknya mengambil berat tentang kenaikan harga barangan yang sedang melanda negara ini.

“Kenaikan ini sekali gus menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia khususnya golongan pekerja berpendapatan rendah (B40) semakin bertambah.

“Situasi ini tentunya akan memberi tekanan besar kepada mereka yang perlu bergelut untuk meneruskan kehidupan masing-masing terutama yang mempunyai tanggungan besar dalam keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

MTUC sebelum itu telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagi memohon pemantauan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dihadapi negara.

Penyerahan memorandum terbabit diterima oleh wakil menteri yang juga Ketua Komunikasi Korporat KPDNHEP, Yunus Tasim bersama pegawai-pegawai lain.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan pelaksanaan itu berkata, gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani menyatakan bahawa MTUC menyokong kenyataan dibuat Alexander baru-baru ini yang mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan gaji minimum dengan menaikkan harga barangan.

“MTUC berharap pihak KPDNHEP akan terus melakukan pemantauan berterusan dan mengawal selia bagi memastikan kenaikan harga tidak berlaku,” katanya.