Aduan libatkan anggota polis paling banyak diterima: EAIC

Sidek menyerahkan memento penghargaan integriti kepada Acryl Sani dalam Majlis Apresiasi EAIC Bersama Agensi Penguatkuasaan Seliaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Jumaat.
Sidek menyerahkan memento penghargaan integriti kepada Acryl Sani dalam Majlis Apresiasi EAIC Bersama Agensi Penguatkuasaan Seliaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima 6,099 aduan terhadap pelbagai agensi penguat kuasa dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah yang tertinggi.

Tanpa memperincikan jumlahnya, Pengerusi EAIC, Tan Sri Sidek Hassan berkata, jumlah aduan itu diterima pihaknya sejak EAIC ditubuhkan 10 tahun lalu.

Katanya, aduan yang tidak dibuka adalah melibatkan aduan terhadap bukan agensi seliaan yang dipanjangkan kepada agensi berkaitan untuk disusuli selain tiada butiran lengkap yang tidak membolehkan tindakan diambil.

"Sebanyak 5,163 fail aduan telah dibuka dan EAIC telah menyelesaikan sebanyak 5,097 fail aduan daripada keseluruhan jumlah aduan diterima.

"EAIC juga telah membuka sebanyak 1,097 fail siasatan dan sehingga kini, sebanyak 1,046 kes telah diselesaikan. Fail siasatan yang belum diselesaikan pula masih dalam proses tindakan dan akan diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan Prosedur Operasi Standard Penerimaan Aduan EAIC," katanya dalam Majlis Apresiasi EAIC Bersama Agensi Penguatkuasaan Seliaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Jumaat.

Turut hadir adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Mengulas mengenai punca aduan tertinggi libatkan PDRM, Sidek menjelaskan, jumlah keanggotaan polis lebih ramai berbanding agensi penguat kuasa lain.

"Malah, orang awam juga sering berurusan dengan pihak polis setiap hari dan banyak aduan remeh seperti tinggi suara dan seumpamanya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Sidek berkata, isu integriti, salah laku dan rasuah bukan isu bermusim serta perkara baharu dan sebab itu Badan Pencegah Rasuah telah ditubuhkan 55 tahun lalu pada 1 Oktober 1967.

Katanya, ia bukan mutlak kepada penjawat awam atau pegawai kerajaan sahaja namun sektor swasta dan korporat juga menyumbang bukan sahaja sebagai pemberi, tetapi sebagai peminta dan penerima.

"Isu kepincangan integriti bukan isu individu atau isu dalaman organisasi, tetapi merupakan isu kita bersama. EAIC perlu bekerjasama rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan dalam membina sahsiah integriti," katanya.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, tindakan tatatertib dan dalaman diambil oleh pihaknya terhadap anggota atau pegawai bergantung apa yang disarankan oleh EAIC.

"Semua saranan yang diberikan kepada PDRM, akan diambil tindakan sebelum dimaklumkan kembali kepada EAIC," katanya.