Banjir di Bentong tiada aktiviti pembalakan: MB

Wan Rosdy menjelaskan banjir di Bentong tiada aktiviti pembalakan pada pada sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
Wan Rosdy menjelaskan banjir di Bentong tiada aktiviti pembalakan pada pada sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kejadian banjir besar yang berlaku di Bentong pada pertengahan Disember tahun lalu, tiada kaitan langsung dengan isu pembalakan di Hutan Simpan Lentang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil semakan mendapati berlaku kejadian kepala air di Karak yang bermula di Hutan Simpan Lentang akibat hujan lebat berterusan.

Beliau menjelaskan fakta ini tepat berdasarkan data taburan hujan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mencatatkan bacaan purata 155 milimeter pada 18 Disember lalu yang dikategorikan sebagai sangat lebat.

"Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) juga melakukan tinjauan melalui udara dan mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan dijalankan di Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan dan tanah milik di kedua-dua lokasi.

"Malah, kerajaan Pahang juga menjalankan satu kajian forensik berkenaan kejadian banjir puing yang berlaku di Daerah Bentong apabila didapati ratusan runtuhan tanah dan pokok-pokok di sepanjang laluan terbabit.

“Kesemua bukti dan fakta telah direkodkan di dalam buku laporan forensik dan saya berharap agar buku ini dapat diteliti oleh setiap Ahli Yang Berhormat dan berpeganglah kepada fakta dan bukti yang diberikan di dalam buku tersebut. Saya ucapkan terima kasih kepada JPNP di atas inisiatif yang dilakukan ini,” katanya.

Beliau berucap demikian pada sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, Hutan Simpan Lentang di Sungai Kerau seluas 30 hektar terbabit juga telah dijadikan petak High Conservation Value Forest (HCVF) sejak 2012.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, HCVF ini merupakan kawasan hutan perlindungan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pembalakan.

Menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH- Ketari) tentang tindakan penguatkuasaan bagi mengawal pembukaan tanah hutan simpan dan penyalahgunaan aktiviti ke atas tanah hak milik individu yang mana boleh menyebabkan kerosakan kepada hutan dan sungai di kawasan sekitar, Wan Rosdy berkata, JPNP sentiasa melaksanakan penguatkuasaan bagi membanteras penjenayah alam sekitar yang melakukan pencerobohan haram dalam hutan simpan.

Ujarnya, antara usaha yang dilaksanakan ialah dengan memantau kawasan hutan menggunakan satelit bagi mendapatkan imej-imej terkini.

"Selain itu, pemantauan secara langsung menggunakan helikopter bagi melihat pembukaan kanopi pokok dalam kawasan hutan turut dilakukan di samping menjalankan risikan dan pemantauan di lapangan oleh kakitangan penguatkuasaan.

"Pelaksanaan operasi bersepadu bersama unit penguatkuasaan bersepadu negeri dilakukan bagi mengelak berlakunya penerokaan haram dan pembakaran terbuka di tanah kerajaan dan tanah milik," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pasukan elit penguatkuasaan negeri telah ditubuhkan bagi membanteras aktiviti perlombongan haram, penebangan hutan yang tidak terkawal dan pencerobohan tanah.

"Pada tahun lalu, JPNP merekodkan sebanyak 57 kes melibatkan penerokaan hutan untuk mengambil hasil hutan dan juga bagi tujuan penerokaan untuk pertanian.

"Semua kes ini telah dibuka kertas siasatan berdasarkan peruntukan kuasa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 pindaan 1993," katanya.