1,083 PEDi dibuka di seluruh negara akhir tahun ini

Sulaiman Md Ali (kiri) dan Fadhlullah Suhaimi (dua dari kanan) meninjau Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Taman Bandar Baru Masjid Tanah selepas perasmian pusat berkenaan pada Jumaat. - Foto Bernama
Sulaiman Md Ali (kiri) dan Fadhlullah Suhaimi (dua dari kanan) meninjau Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Taman Bandar Baru Masjid Tanah selepas perasmian pusat berkenaan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Sebanyak 1,083 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dijangka beroperasi di seluruh negara menjelang hujung tahun ini dengan sasaran satu PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, sebanyak 909 PEDi telah dibuka di seluruh negara dan 30 daripadanya adalah di Melaka.

Menurutnya, PEDi diwujudkan bukan hanya untuk menawarkan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi dan penggunaan komputer tetapi menjadi pusat setempat bagi penganjuran kursus Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta program keusahawanan secara percuma kepada masyarakat setempat oleh petugas PEDi terlatih.

"PEDi juga diwujudkan untuk merapatkan hubungan antara usahawan dengan pemasaran berjenama antaranya Shopee, Aeon dan Telekom Malaysia (TM) sekali gus membuka ruang kerjasama antara mereka dalam pemasaran digital.

"Usaha ini secara tidak langsung membantu usahawan mikro untuk memperluaskan pasaran serta meningkatkan hasil jualan produk mereka," katanya kepada pemberita selepas Program Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Melaka dan Perasmian PEDi Taman Bandar Baru Masjid Tanah di sini hari ini.

PEDi berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.

Fadhlullah Suhaimi berkata, usahawan yang mendapatkan perkhidmatan di PEDi digesa berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memudahkan mereka mendapatkan pelbagai bantuan kewangan ditawarkan kerajaan bagi meningkatkan kualiti produk keluaran mereka.

"Kita berharap menerusi pengoperasian PEDi di negara ini, pembangunan ekonomi setempat tidak hanya (berlaku) di kawasan bandar tetapi juga di kawasan luar bandar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sulaiman berkata, sembilan lagi PEDi dijangka dibuka di Melaka menjelang akhir tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan PEDi di negeri berkenaan sebanyak 39 PEDi.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan 30 PEDi yang telah dibuka di Melaka ketika ini, 14 daripadanya di Alor Gajah, Jasin (11) dan Melaka Tengah (lima).

"Pembukaan PEDi dilihat sebahagian daripada usaha transformasi untuk memacu pembangunan ekonomi digital negara ke arah aspirasi nasional menuju 2025 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) selaras usaha untuk menyediakan persekitaran yang menyokong pertumbuhan ekonomi.

"Setakat ini, sebanyak 905 usahawan yang aktif di 30 PEDi di Melaka dan 35 daripada mereka adalah usahawan dari PEDi Taman Bandar Baru Masjid Tanah. Kita menganggarkan lebih banyak usahawan yang akan mendapat manfaat daripada pembukaan PEDi ini," katanya. - Bernama