'Pesta dangdut' di Kuala Terengganu cemar kesucian ambang Ramadan

Tangkap layar video pertunjukan dengan pakaian menjolok mata di sebuah hotel di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Tangkap layar video pertunjukan dengan pakaian menjolok mata di sebuah hotel di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Terengganu menyelar tindakan penganjur program yang menampilkan penyanyi berpakaian menjolok mata di sebuah hotel pada 25 Mac lalu kerana disifatkan ramai sebagai mencemari kesucian ambang Ramadan yang bakal disambut 3 April ini.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah akan bertemu penganjur program itu pada Ahad bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai perkara itu.

"Hari Ahad ini saya akan buat lawatan muhibah ke tempat itu untuk bertemu dengan pihak terlibat. Sebenarnya di Terengganu sudah ada garis panduan lengkap yang tidak membenarkan program seumpama ini dijalankan.

"Mungkin mereka tidak tahu garis panduan baharu. Kita sedia mendengar dan beri ruang kepada mereka untuk memberi penjelasan jika ada kelemahan tertentu, " katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Jumaat.

Mohd Nor
Mohd Nor

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, penganjur sepatutnya merujuk dahulu garis panduan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pelaksana syariah sebelum mengadakan program seumpama itu.

"Secara umum, kebanyakan daripada kita sudah tahu bahawa Terengganu ada garis panduan yang tidak membenarkan mengenai pertunjukan atau persembahan sebegini malah rakyat negeri ini mempunyai kesedaran agama yang tinggi. Hal ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan kerajaan, juga kemarahan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Melainkan, ia dilakukan bagi tujuan provokasi. Misalnya, jika kerajaan negeri ambil tindakan, mereka mula tunjuk belang. Sebab itulah mahu menilai dahulu adakah program ini dianjurkan bagi tujuan mencetus provokasi atau mereka sebenarnya benar-benar tiada maklumat lengkap mengenai garis panduan ditetapkan," katanya.

Sebelum ini tular video berdurasi 25 saat menerusi aplikasi TikTok memaparkan aksi persembahan nyanyian dengan berpakaian menjolok mata di sebuah hotel di pusat bandar Kuala Terengganu.