Pembukaan sempadan: Buat kejutan pulang ke rumah bertemu keluarga

JB Sentral yang merupakan pintu keluar masuk ke Kompleks CIQ di Bangunan Sultan Iskandar kembali menjadi tumpuan pada hari pertama sempadan Malaysia- Singapura dibuka pada Jumaat. (Gambar kecil dari kiri: Suhartini, Abdul Rashid, Shahrizanormali)
JB Sentral yang merupakan pintu keluar masuk ke Kompleks CIQ di Bangunan Sultan Iskandar kembali menjadi tumpuan pada hari pertama sempadan Malaysia- Singapura dibuka pada Jumaat. (Gambar kecil dari kiri: Suhartini, Abdul Rashid, Shahrizanormali)
A
A
A

JOHOR BAHRU- Terpaksa berjauhan dengan keluarga demi mencari rezeki di seberang tambak merupakan antara detik pahit yang tidak dapat digambarkan ketika sempadan negara ditutup akibat pandemik Covid-19.

Namun kerinduan keluarga terubat pada 1 April apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka semula, menyaksikan ramai rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air.

Bagi juruteknik, Shahrizanormali Hadnin, 37, tiga anaknya berusia lapan, enam dan dua tahun tidak dimaklumkan mengenai kepulangannya pada Jumaat kerana mahu membuat kejutan.

Katanya yang sudah lima tahun bekerja di Woodlands Singapura, perasaan teruja untuk pulang ke ke pangkuan keluarga di Kangkar Pulai Johor Bahru tidak dapat digambarkan sejak pengumuman pembukaan sempadan kedua-dua negara pada 24 Mac lalu.

"Sebenarnya saya hendak buat kejutan kepada anak-anak. Sudah tentu saya rindukan mereka dan akan menyambut awal Ramadan bersama keluarga di sini.

"Dari malam tadi, sudah tidak dapat lena hanya fikir untuk kembali ke Malaysia. Saya rancang selepas sempadan dibuka untuk berulang-alik bekerja ke Singapura sebagaimana sebelum pandemik Covid-19," katanya ketika ditemui di JB Sentral di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, juruteknik, Abdul Rashid Mohd Wira, 42, berkata selepas merentas sempadan dan tiba Kompleks Pemeriksaan Kastam dan Imigresen (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada pagi Jumaat, hatinya menjadi cukup sedih.

Katanya, ini kerana sudah dua tahun sempadan Malaysia-Singapura ditutup menyaksikan pelbagai cabaran diharungi rakyat Malaysia yang bekerja Singapura dalam tempoh itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya cukup sebak mengenangkan sempadan Malaysia- Singapura dibuka kembali. Ramai rakyat Malaysia yang bekerja mencari rezeki di seberang tambak memang mengimpikan sempadan dibuka semula.

"Sudah tentu paling gembira dua orang anak berusia 10 dan lapan tahun menunggu kepulangan saya di rumah nanti. Kali terakhir saya pulang ke Johor Bahru menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) pada akhir tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Suhartini Shaari, 37, pula bersyukur kerana dapat menjadi antara rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air pada hari pertama sempadan Malaysia-Singapura dibuka.

"Sejak sempadan ditutup, hanya berhubung dengan ahli keluarga di Johor Bahru menggunakan telefon dan media sosial sahaja.

"Tetapi kali ini saya cukup gembira dan bersyukur kerana dapat kembali ke Johor bertemu suami dan keluarga seterusnya menyambut Ramadan bersama mereka," katanya yang bekerja di sebuah hospital di Singapura.

Sebelum ini, Malaysia dan Singapura secara rasmi mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.