Perak FC masih tunggu bukti dana

No Image Caption
A
A
A

KETIADAAN dokumen bukti dana (proof of fund), daripada pihak pelabur yang dikatakan berminat untuk memiliki Perak FC menjadi antara punca yang melewatkan lagi usaha pengambil alihan kelab Liga Premier tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah, pihaknya bersedia untuk melepaskan kelab berkenaan kepada mana-mana organisasi mahu pun individu yang berkemampuan.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, ketiadaan dokumen berkenaan menyebabkan pihaknya tidak dapat mengemukakan apa-apa kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mahu memastikan kemampuan serta kedudukan kewangan pihak pelabur berkenaan.

“Kami di Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd sememangnya bersedia lepaskan Perak FC kerana sejujurnya, kami memang tidak berkemampuan.

“Sebab itulah kami nak let go kepada organisasi atau individu yang berkemampuan, ada kewangan yang kukuh dan itulah sebabnya kami memerlukan dokumen bukti dana berkenaan.

“Namun, sehingga ke saat ini, kami masih menunggu lagi dokumen bukti dana berkenaan, malah saya sendiri telah menghubungi wakil mereka bagi menjelaskan kepentingan dan keperluan bukti dana itu,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Khamis.

Untuk rekod, dokumen bukti dana itu merupakan dokumen yang perlu dinilai dan mendapat kelulusan MFL sebelum proses pengambilalihan Perak FC dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Muhammad Yunus turut berharap agar pelabur berkenaan segera menyerahkan bukti dana berkenaan agar ia dapat diserahkan kepada MFL.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, dokumen itu secara keseluruhannya bakal membantu bagi melancarkan lagi proses pengambilalihan Perak FC kepada pemilik baharu.

“Sepatutnya pihak pelabur tahu akan kepentingan dokumen ini, kerana mereka sudah pun berjumpa dengan pihak MFL.

“Disebabkan kelewatan ini MFL akan kuatkuasakan pemotongan tiga mata mulai esok (hari ini) dan kami telah pun menerima surat daripada MFL semalam.

“Secara keseluruhannya, kita memang bersedia let go Perak FC ini, tetapi segala usaha kami tak dapat diteruskan kerana tidak ada dokumen yang hendak dikemukakan kepada pihak MFL mengenai pihak pelabur.

“Tapi nak kemukakan apa kalau bendanya tak ada,” kata beliau.