Pemotongan tiga mata Perak FC bermula...

Kemelut yang melanda Perak FC semakin meruncing apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mula melaksanakan pemotongan tiga mata susulan kegagalan pengurusan skuad The Bos Gaurus itu menyelesaikan tunggakan gaji pemain pada tarikh akhir, 31 Mac.
Kemelut yang melanda Perak FC semakin meruncing apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mula melaksanakan pemotongan tiga mata susulan kegagalan pengurusan skuad The Bos Gaurus itu menyelesaikan tunggakan gaji pemain pada tarikh akhir, 31 Mac.
A
A
A

KEMELUT yang melanda Perak FC semakin meruncing apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mula melaksanakan pemotongan tiga mata susulan kegagalan pengurusan skuad The Bos Gaurus itu menyelesaikan tunggakan gaji pemain pada tarikh akhir, 31 Mac.

Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang turut menegaskan tiada sebarang lanjutan tarikh diberikan kepada kelab Liga Premier tersebut bagi menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan.

“Tidak ada lanjutan tarikh akan diberikan dan pemotongan tiga mata kepada Perak FC akan bermula pada 1 April diikuti pemotongan enam mata selepas 14 hari iaitu pada 15 April, sekiranya tunggakan berkenaan masih belum selesai.

“Selepas tujuh hari (22 April), perkara berkenaan akan dirujuk kepada Unit Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) First Instance Body (FIB) dan seterusnya kepada Lembaga Pengarah.

“Di peringkat ini, Perak FC berdepan kemungkinan dilucutkan lesen dan seterusnya disingkirkan daripada Liga-M,” kata Stuart kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam

Untuk rekod, isu tunggakan gaji yang melanda Perak FC telah berlarutan sejak musim lalu hingga memberikan impak besar kepada kelab tersebut hingga menyaksikan ramai pemainnya meninggalkan pasukan musim ini.

Mengulas berhubung perkara itu, Stuart berkata, MFL juga masih menunggu dokumen bukti dana berkenaan daripada Perak FC.

Artikel Berkaitan:

Namun, sehingga Khamis dokumen berkenaan masih belum diserahkan oleh Perak FC biarpun pada tarikh akhir dokumen perlu diserahkan.

“Kami tidak ada terima apa-apa dokumen bukti dana ini daripada Perak FC. Untuk makluman tarikh akhir yang diberikan juga sudah tamat dan tidak akan dilanjutkan.

“Buat masa ini kami masih meneruskan perbincangan dengan Perak FC berhubung perkara ini di mana kami juga sentiasa peka dengan perbincangan berterusan yang diadakan,” katanya.

Sementara itu Stuart menegaskan pemotongan tiga mata itu adalah berdasarkan kepada kegagalan Perak FC untuk menjelaskan pembayaran bagi tunggakan gaji sebagaimana yang telah dijanjikan sebelum ini.

Bagaimanapun menurut Stuart, pemotongan tiga mata itu tidak mempunyai kaitan dengan tunggakan gaji bagi 2022 kerana ia isu berbeza berdasarkan kepada situasi semasa Perak FC ketika ini terutamanya melibatkan kestabilan kedudukan pasukan berkenaan dalam saingan Liga-M musim ini.