Polis Kedah tubuh pasukan khas sempena pembukaan pintu sempadan

Wan Hassan menerima tabik hormat pada Program Pelancaran Memperkasakan Kawalan Sempadan sempena pembukaan pintu sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini, pada Khamis.
Wan Hassan menerima tabik hormat pada Program Pelancaran Memperkasakan Kawalan Sempadan sempena pembukaan pintu sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini, pada Khamis.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah menubuhkan pasukan Ops Khas Sempadan yang bertugas 24 jam sehari bersempena pembukaan semula pintu sempadan berkuat kuasa pada Jumaat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pasukan khas yang dianggotai 70 hingga 100 anggota itu akan memberi fokus kepada kawalan sempadan antara Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, di sini, daripada sebarang ancaman dan unsur tidak sihat.

Beliau memberitahu, penubuhan pasukan khas itu bagi membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) yang kini dikawal selia pasukan Bidor untuk mengawal sempadan.

"Pasukan khas terbabit menggabungkan beberapa unit khas termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), elemen kereta peronda polis (MPV) dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), sekatan jalan yaya (SJR) dan Unit Anjing Pengesan (Unit K9).

"Selain itu, pasukan khas ini juga akan menggunakan keanggotaan dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Balai Polis Changlun bagi membantu PGA yang siap sedia mengawal pintu masuk negara," katanya.

Wan Hassan berkata sedemikian pada sidang media selepas Program Pelancaran Memperkasakan Kawalan Sempadan sempena pembukaan pintu sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini, pada Khamis.

Menurut Wan Hassan, Polis Kedah akan menambah anggota mengikut keperluan semasa di sempadan Bukit Kayu Hitam, di sini.

"Pada hujung minggu mungkin kita akan tambahkan (anggota) lebih ramai. Kita tengok keadaan tetapi kekuatan 70 anggota memang siap sedia untuk bergerak.

Artikel Berkaitan:

"Di sini (Bukit Kayu Hitam), fokus adalah kepada orang ramai dan kenderaan keluar masuk," katanya.

Wan Hassan menjelaskan, pihaknya akan memberi tumpuan lebih di kawasan Bukit Kayu Hitam berikutan ia menjadi laluan keluar masuk kebanyakan kenderaan orang ramai.

Katanya, pasukan khas tersebut ditubuhkan bagi memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, pemerdagangan manusia, keganasan dan lain-lain jenayah dapat dikekang sebaik mungkin.

"Pasukan Khas kawalan sempadan yang ditubuhkan akan membantu melakukan rondaan di kawasan-kawasan khas dan melakukan pemeriksaan di SJR, selain rondaan berkala seperti berjalan kaki, menggunakan motosikal dan kenderaan pacuan empat roda oleh PGA," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, Polis Kedah telah bersedia sepenuhnya dalam mengawal keselamatan sempadan Malaysia-Thailand.

"Saya memberi jaminan akan mengawal ketat sempadan di Kedah termasuk lorong-lorong tikus yang telah dikenal pasti," katanya.

Jelasnya, Polis Kedah turut melakukan pemantauan menggunakan dron bagi memastikan kawalan yang lebih luas dan menyeluruh.

Tambah beliau, pihak polis akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain bagi memastikan sempadan negara berada pada tahap terbaik.

"Justeru, saya memohon kepada masyarakat yang ingin melalui sempadan Malaysia-Thailand terutamanya di ICQS Bukit Kayu Hitam untuk mematuhi segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta memberi kerjasama terbaik kepada anggota penguat kuasa supaya segala urusan dapat berjalan lancar," katanya.

Bagaimanapun, Wan Hassan memaklumkan beliau belum dapat menjangkakan bilangan kenderaan akan memasuki negara apabila sempadan dibuka jam 6 pagi Jumaat.