Polis tolak unsur culik, murid perempuan tersalah naik bas

Azmi (tengah) beramah mesra bersama seorang pegawai polis ketika program Kempen Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Peringkat Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.
Azmi (tengah) beramah mesra bersama seorang pegawai polis ketika program Kempen Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Peringkat Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menolak kemungkinan wujud unsur penculikan melibatkan kejadian seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1 di sini dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolah yang kemudiannya ditemui selamat pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan mendapati tiada unsur kanak-kanak tersebut diculik.

"Siasatan dijalankan mendapati kanak-kanak berumur lapan tahun itu dipercayai telah tersalah menaiki sebuah van sekolah.

"Van sekolah tersebut kemudian menurunkan kanak-kanak berkenaan di sebuah kondominium, dalam perkara ini, tiada sebarang unsur culik yang kita siasat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kempen Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Peringkat Polis Kuala Lumpur pada Khamis.

Katanya, pihaknya turut menasihati agar pengusaha van atau bas sekolah meletakkan tanda tertentu pada kenderaan bagi mengelakkan kekeliruan.

"Suasana sekarang ini, seperti yang kita semua sedia maklum, kita dalam tempoh yang agak lama menghadapi pandemik Covid-19, sekarang ini baru mula semula sesi persekolahan.

"Jadi bila sudah lama, akan berlaku kekeliruan, jadi saya harap ada pendekatan oleh pihak pengusaha bas atau van sekolah untuk meletakkan tanda pada kenderaan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, seorang murid perempuan Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Midah 1, Cheras yang dilaporkan hilang selepas sesi persekolahan ditemui selamat pada malam Rabu.

Laporan kehilangan murid perempuan dikenali Sofia Raniya, 8, yang juga anak ketiga daripada empat beradik dibuat oleh bapa saudaranya di Balai Polis Cheras, kira-kira jam 7.30 malam.

Kanak-kanak perempuan itu ditemui selamat oleh penduduk di sebuah kondominium di Pudu.