Kematian murid perempuan bukan akibat strok haba - JKNS

Tangkap layar mesej bergambar mendakwa murid perempuan meninggal dunia akibat strok haba - Foto media sosial
Tangkap layar mesej bergambar mendakwa murid perempuan meninggal dunia akibat strok haba - Foto media sosial
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menafikan bahawa kematian seorang murid perempuan di Klang adalah berpunca daripada strok haba seperti yang ditularkan di media sosial.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan berkata berdasarkan rekod pemeriksaan kanak-kanak berusia 10 tahun itu, beliau telah hadir ke klinik dalam keadaan kritikal dan didiagnos sebagai gastroenteritis akut dengan komplikasi.

"Rawatan sewajarnya telah diberikan sebelum beliau dirujuk ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Namun, beliau telah meninggal dunia pada 9 Mei dan tidak mengalami strok haba seperti yang ditularkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook JKNS.

Terdahulu, Dr Sha’ari berkata, pihaknya telah menerima makluman berhubung mesej tular mengenai kematian seorang murid perempuan dipercayai strok haba yang melibatkan seorang murid sekolah di Selangor pada 10 Mei lalu.

"Kejadian itu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang datang mendapatkan rawatan di salah sebuah klinik kesihatan di Klang.

"Beliau mengalami gejala sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas makan malam pada 8 Mei. Keesokannya, mangsa telah dibawa ke klinik dan hasil pemeriksaan mendapati beliau hadir dalam keadaan kritikal dan didiagnos kes gastroenteritis akut dengan komplikasi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sha’ari turut mengingatkan orang ramai agar tidak memandang ringan gejala cirit-birit dan muntah yang dialami kerana jika tidak terkawal, ia berpotensi untuk menyebabkan situasi kekeringan khususnya dalam musim cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini. - Bernama