[VIDEO] Larkin Sentral dijangka terima sehingga 25,000 pengunjung esok

Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral menjadi transit kepada warga Singapura yang menaiki pengangkutan awam selepas keluar dari Tambak Johor dan Laluan Kedua. (Gambar kecil) Mohd Helmi
Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral menjadi transit kepada warga Singapura yang menaiki pengangkutan awam selepas keluar dari Tambak Johor dan Laluan Kedua. (Gambar kecil) Mohd Helmi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral dijangka menerima 22,000 hingga 25,000 pengunjung yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan disediakan setiap hari sebaik pintu sempadan negara Malaysia-Singapura yang dibuka pada Jumaat.

Pengurus Larkin Sentral, Mohd Helmi Mohd Affendi berkata, pihak pengurusan telah bersedia termasuk dari segi prosedur operasi standard (SOP) bagi menerima kehadiran pengunjung terutama warga Singapura.

Menurutnya, ia termasuk menempatkan seramai 30 anggota polis di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral pada minggu pertama sempadan dibuka.

"Buat masa sekarang, jumlah pengunjung di terminal ini antara 10,000 hingga 12,000 sehari. Jadi pelbagai persediaan telah dibuat bagi memastikan perjalanan pengunjung ke terminal di sini berjalan lancar selepas sempadan dibuka esok.

"Penjualan tiket Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) di terminal ini yang berakhir semalam (Rabu) adalah 7,000 tiket sehari namun berikutan sempadan dibuka sepenuhnya esok ( Jumaat), kita jangkakan akan berlaku sedikit kesesakan dengan pertambahan pengunjung yang ramai," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Mohd Helmi turut menasihatkan pengunjung supaya menggunakan aplikasi atau laman web termasuk golarkin.com.my bagi mendapatkan tiket bas sama ada ke Singapura atau ke destinasi lain.

Kaunter Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, Johor Bahru.
Kaunter Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, Johor Bahru.

"Pembelian tiket lebih mudah dan pantas dilakukan di laman web golarkin.com.my berikutan tiket dibeli secara dalam talian sudah mempunyai QR Code.

Artikel Berkaitan:

"Jadi pengunjung tidak perlu lagi beratur dan bersesak di hadapan mesin pembayaran atau kaunter tiket bagi mendapatkan pas penumpang.

"Sebaliknya pengunjung yang membeli tiket secara dalam talian boleh terus masuk ke balai berlepas dengan menunjukkan QR Code menerusi telefon bimbit mereka dan tidak perlu beratur," katanya.

Bermula tengah malam ini, Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap divaksin untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Pada 24 Mac lalu, Malaysia dan Singapura dilaporkan mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April ini dengan sebahagian besar SOP dilonggarkan.

Selari dengan pengumuman itu, pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan Covid-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan media bersama Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.