Smith enggan tinggalkan Anugerah Oscar: Akademi

Reaksi Chris Rock (kiri) selepas ditampar Will Smith. - Foto Agensi
Reaksi Chris Rock (kiri) selepas ditampar Will Smith. - Foto Agensi
A
A
A

PELAKON Will Smith telah diminta untuk meninggalkan Majlis Anugerah Oscar pada Ahad selepas menampar pelawak Chris Rock.

Pihak Akademi pada Rabu memaklumkan ia telah cuba meminta pelakon itu keluar namun tidak diendah.

"Kejadian yang berlaku tidak kami jangkakan.

"Kami ingin menjelaskan bahawa Smith telah diminta meninggalkan majlis namun dia menolak.

"Kami juga sedar yang kami patut kendalikan situasi itu dengan cara yang berbeza," tulis kenyataan pihak Akademi.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan desakan orang ramai yang mempersoal mengapa Will Smith masih dibenarkan duduk di barisan hadapan pada majlis Anugerah Akademi selepas insiden tampar Chris Rock di atas pentas.

Sementara itu, Akademi Seni dan Sains Filem dalam kenyataan terbaharunya berkata, lembaga pengelola yang bermesyuarat pada Rabu telah memulakan prosiding tatatertib terhadap Smith kerana melanggar tatasusila kumpulan itu.

Will Smith mempunyai peluang mempertahankan dirinya dalam jawapan bertulis sebelum lembaga pengarah bertemu semula pada 18 April.

Artikel Berkaitan:

Will Smith boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk penggantungan, pemecatan atau sekatan lain.

Pihak Akademi dalam kenyataan terbaharu mengutuk tindakan Will Smith ke atas Chris Rock.

"Tindakan Smith pada Oscar ke-94 adalah peristiwa yang sangat mengejutkan, traumatik untuk disaksikan secara langsung dan di televisyen.

“Rock, kami memohon maaf kepada anda atas apa yang anda alami di atas pentas, dan terima kasih di atas ketabahan anda pada ketika itu.

"Kami juga memohon maaf kepada para calon, tetamu, dan penonton atas apa yang berlaku ketika acara yang sepatutnya menjadi satu keraian," tulis kenyataan itu.

Sementara itu, lembaga gabenor berkata ia telah memulakan prosiding tatatertib terhadap pelakon itu selepas kejadian menampar Chris Rock di atas pentas Oscar.

Pada Isnin, Will Smith memohon maaf daripada Chris Rock, Akademi dan penonton serta mengakui dia bertindak di luar batasan. - Awani