Agihan kerusi PN dimuktamadkan pada Rabu

Hamzah - Foto fail Bernama
Hamzah - Foto fail Bernama
A
A
A

MARANG - Keputusan agihan kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi pilihan raya negeri (PRN) akan dimuktamadkan pada Rabu depan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan diputuskan dalam persidangan Majlis Presiden PN pada hari berkenaan.

Jelas beliau, tiada lagi sebarang rundingan berhubung agihan kerusi yang akan berlaku selepas persidangan yang akan melibatkan semua presiden parti yang mewakili rakan gabungan PN itu.

"Selepas Rabu tak ada rundingan atau tawaran lagi sebab Majlis Presiden PN sudah tandatangan dan hanya umumkan sahaja.

"Kita telah adakan beberapa kali perbincangan (sebelum ini) berhubung agihan kerusi antara parti komponen, selepas Majlis Presiden bersidang minggu depan kita dah tutup, dah tak boleh nak bincang lagi dah," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya PN Marang di sini malam Jumaat.

Menurut Hamzah, agihan kerusi parti itu kini sudah hampir selesai dan hanya satu dua kerusi yang masih dalam proses rundingan bagi mengambil kira kesesuaian untuk bertanding di sesuatu kawasan.

"Sekarang ni dah almost (hampir) tetapi masih ada lagilah satu, dua (kerusi) yang masih dalam proses kerana melibatkan keyakinan dan perlu kepada persetujuan oleh semua rakan parti komponen.

"Misalnya seperti Gerakan, kita sedang bincang Gerakan mewakili kumpulan yang bagaimana. Jadi, kalau nak menang misalnya di Pulau Pinang, kita perlu tengok macam mana caranya.

"Sebab itulah antara perkara yang kita akan berikan kepastian supaya pimpinan dari segi seluruh parti komponen itu akan merasai bersama kita ini ada keikhlasan, kejujuran dan 'compromising' yang boleh ditonjolkan," katanya.

Mengulas mengenai calon pada PRN nanti katanya, pemilihan calon terpulang kepada parti yang telah dipilih untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

"Bila dah ada kerusi-kerusi yang telahpun kita serahkan, maka calon-calon itu kita serahkan juga kepada parti komponen (untuk memilih)," ujar beliau.

Enam negeri iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka mengadakan PRN serentak walaupun tarikh pembubaran DUN di negeri terbabit berbeza.

Terdapat DUN negeri yang automatik akan terbubar pada Jun ini berdasarkan kepada tempoh lima tahun yang ditetapkan dalam perlembagaan.

PRN diadakan selepas negeri-negeri berkenaan memutuskan untuk menangguhkan pembubaran DUN negeri masing-masing dalam PRU15 pada November tahun lalu.

Pada PRU15 lalu, gabungan PN memenangi 73 kerusi Parlimen termasuk 49 kerusi daripada calon Pas.