Malaysia raih nilai perniagaan lebih RM70 bilion di Ekspo 2020 Dubai

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

DUBAI - Malaysia meraih potensi nilai perdagangan, pelaburan dan petunjuk perniagaan bernilai lebih RM70 bilion secara keseluruhannya bagi 26 program mingguan pada Ekspo 2020 Dubai mengatasi sasaran yang ditetapkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, nilai itu diperoleh melalui 131 Memorandum Persefahaman atau Perjanjian Perkongsian dan pertanyaan perniagaan melibatkan sejumlah 4,558 mesyuarat termasuk potensi padanan perniagaan.

"Sebelum penyertaan di ekspo ini, Malaysia menetapkan sasaran untuk mencapai antara RM8 bilion hingga RM10 bilion bagi potensi peluang perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan ini berasaskan pencapaian Malaysia di Ekspo Astana, Kazakhstan pada 2017,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Ekspo 2020 Dubai di sini pada Rabu.

Ekspo 2020 Dubai berlangsung selama enam bulan bermula Oktober 2021 hingga 31 Mac ini.

Ismail Sabri berkata, selain itu Pavilion Malaysia juga menerima 1.1 juta pengunjung sejak bermulanya penganjuran ekspo tersebut sehingga Selasa yang mana ia merupakan satu lagi pencapaian yang membanggakan negara.

"Sebanyak 452 buah syarikat dari Malaysia turut hadir untuk menyertai program perdagangan dan perniagaan yang dilaksanakan secara minggu bertema, mengetengahkan lebih daripada 10 industri termasuk kesihatan, pendidikan, industri halal, pelancongan dan lain-lain,” katanya.

Perdana Menteri berkata, tema Pavilion Malaysia iaitu ‘Energising Sustainability’ tercetus daripada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang menjadi pelan hala tuju lima tahun untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan.

"Pelan hala tuju tersebut berpaksikan tiga tema iaitu menetapkan semula ekonomi, mengukuhkan keselamatan, kesejahteraan dan keterangkuman serta memajukan kemampanan.

Artikel Berkaitan:

"Pavilion Malaysia menerima kunjungan lebih daripada 130 delegasi peringkat tinggi antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, Arab Saudi, Australia, Argentina, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom (UK) serta Kesatuan Eropah.

"Perbincangan tersebut disertai lebih daripada 21,000 orang secara fizikal dan 515,000 orang secara maya bagi meningkatkan pemahaman umum tentang kepentingan, kesukaran dan cabaran yang dihadapi dalam usaha mengimbangi pembangunan sosio-ekonomi dengan kelestarian alam sekitar,” kata Ismail Sabri.

Hadir sama adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Josep Kurup. - Bernama