Malaysia sertai program '5 Year Legacy Ekspo 2020 Dubai'

Adham ketika berucap pada majlis penyerahan bangunan Pavilion Malaysia di Dubai, UAE pada Selasa.
Adham ketika berucap pada majlis penyerahan bangunan Pavilion Malaysia di Dubai, UAE pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia menyertai program ‘5 Year Legacy Ekspo 2020 Dubai’ di Emiriah Arab Bersatu (UAE), di mana Pavilion Malaysia akan dikekalkan dan digunakan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, Pavilion Malaysia akan dijenamakan sebagai hab teknologi dan inovasi Malaysia di UAE dan dikekalkan sebagai hak milik kerajaan.

Menurutnya, ia akan dikendalikan oleh syarikat swasta Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Hab ini akan beroperasi mengguna pakai konsep perkongsian awam-swasta, di mana kedua-dua pihak iaitu kerajaan Malaysia dan syarikat swasta dapat menggunakan kemudahan pavilion tersebut sebagai platform untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi.

“Penjenamaan Pavilion Malaysia sebagai Hab Teknologi dan Inovasi Malaysia mencerminkan cita-cita negara untuk menjadi sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global.

“Ini juga membuktikan aspirasi kerajaan untuk memacu ke arah pembangunan negara yang berteknologi tinggi secara global, termasuklah mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala dengan negara UAE dalam bidang ini,” katanya pada majlis penyerahan bangunan Pavilion Malaysia di Dubai, UAE pada Selasa.

‘Program 5 Year Legacy Ekspo 2020 Dubai’ adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang kerajaan UAE untuk mengguna semula tapak acara ekspo untuk pembangunan komuniti yang berkonsepkan pelbagai guna yang dikenali sebagai District 2020 selepas berakhirnya Ekspo Dunia.

Mengulas lanjut, Adham berkata, satu Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan ditubuhkan bagi menilai keupayaan syarikat sebagai salah satu proses pemilihan syarikat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, antara kriteria utama pemilihan syarikat ialah mengetengahkan produk atau perkhidmatan baharu serta bertindak sebagai pemain industri dalam sektor strategik teknologi baharu seperti bandar pintar, logistik pintar, mobiliti pintar dan industri 4.0.

“Jawatankuasa ini juga akan memantau pengoperasian Hab Teknologi dan Inovasi Malaysia untuk memastikan ia mencapai sasaran matlamat yang telah ditetapkan.

“Aerodyne Group merupakan syarikat tempatan Malaysia yang merupakan pemain utama di peringkat global sebagai penyedia Perkhidmatan Dron nombor satu dunia telah dipilih untuk mengambil alih pengoperasian Pavilion Malaysia di UAE,” ujar beliau.

Tambah beliau, Aerodyne Group diiktiraf sebagai peneraju utama global dalam sektor perkhidmatan dron dan perkembangan ini selari dengan profil syarikat berkenaan yang telah berkembang pesat dalam teknologi baharu seperti mobiliti pintar dan logistik pintar.

Aerodyne Group juga akan memanfaatkan fasiliti ini sebagai ibu pejabat global kedua mereka.