Ancaman perang siber semakin kritikal

Pengunjung merasai pengalaman berada di dalam kereta berperisai jenis Kereta Perisai Kaya II 'Miner Resistant Personnel Carrier' dipamerkan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto Bernama
Pengunjung merasai pengalaman berada di dalam kereta berperisai jenis Kereta Perisai Kaya II 'Miner Resistant Personnel Carrier' dipamerkan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peperangan siber merupakan satu masalah serius dan dijangka intensiti ancaman akan terus berkembang sepanjang tahun 2022 dan seterusnya.

Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah, tiada negara yang terlepas daripada ancaman siber membabitkan serangan terhadap ekonomi, pertahanan dan keselamatan.

“Atas alasan ini, negara perlu merangka strategi dan inisiatif untuk persediaan lebih menyeluruh, selain memperkukuh seluruh jentera keselamatan siber untuk menghadapi cabaran berbangkit.

“Pada masa sama, perlu ada kerjasama yang lebih besar di peringkat antarabangsa. Bagi tujuan ini, negara ASEAN perlu terus bekerjasama dengan berkongsi maklumat berhubung isu sekuriti dan keselamatan siber,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada persidangan meja bulat bertajuk 'Cyber warfare - What Does it Look Like and What to Expect in 2022 and Beyond?' sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan (NATSEC) Asia, di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Cybersecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

Sementara itu, Mohd Azumi menyifatkan peperangan siber dalam kalangan komuniti global merupakan isu rentas sempadan yang menimbulkan pelbagai risiko membabitkan keselamatan serantau.

“Serangan siber ini hanya menelan kos minimum berbanding kaedah konvensional malah ia turut memberi kesan mendalam di peringkat global.

Artikel Berkaitan:

“Dalam hal ini, kerosakan fizikal juga boleh dielakkan. Tiada keperluan untuk tentera dikerahkan jika tiada peperangan berlaku apabila serangan boleh dibuat melalui internet.

“Saya percaya beberapa negara akan terus menggunakan platform dalam talian untuk terus mendapatkan kelebihan dalam beberapa isu perang siber,” katanya.