Kilang proses pau, dim sum kotor diarah tutup

Premis memproses kuih pau dan dim sum di Jalan Raja Uda diarah tutup selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan tidak berlesen.
Premis memproses kuih pau dan dim sum di Jalan Raja Uda diarah tutup selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan tidak berlesen.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebuah premis memproses kuih pau dan dim sum yang beroperasi sejak 10 tahun lalu di Jalan Raja Uda di sini diarah tutup selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan tidak berlesen.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Mohd Wazir Khalid berkata, kilang haram yang beroperasi di bahagian belakang sebuah rumah itu disifatkan tidak layak diusahakan berikutan kegagalan mematuhi segala aspek perundangan serta peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

Menurutnya, pengusaha produk makanan terbabit didapati gagal mematuhi garis panduan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) dengan memastikan premis dan produk dihasilkan bersih serta selamat, walaupun pernah dikenakan tindakan penutupan pada 2019.

"Memang keadaan premis ini amat mendukacitakan selepas kita dapati kawasannya sangat kotor, peralatan digunakan tidak dicuci selain menemui najis tikus, tikus dan lipas di stor penyimpanan serta tiga ekor anjing berkeliaran di tempat memproses makanan.

"Selain itu, kita dapati pekerja mereka tidak memakai peralatan perlindungan diri (PPE) seperti sarung tangan dan penutup kepala ketika memproses makanan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai Ops Tegar di sini pada Rabu.

Operasi bermula jam 9 pagi itu turut disertai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang.

Bekas menyimpan kuih pau dan dim sum yang didapati kotor.
Bekas menyimpan kuih pau dan dim sum yang didapati kotor.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sebuah kilang memproses bebola ikan di sini, pemiliknya dikenakan kompaun selepas gagal memastikan pekerja menggunakan kelengkapan PPE ketika memproses makanan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan produk tidak mempunyai label dan kesalahan meletakkan produk makanan di atas lantai.

"Semua perkara ini telah diajar ketika mereka menjalani kursus serta latihan pengendalian makanan, namun ia tidak dipatuhi.

“Dalam pemeriksaan itu, kita dapati produk yang dikeluarkan oleh kilang berkenaan tidak mempunyai label sekali gus menyukarkan pencarian pemilik sekiranya pelanggan mengalami keracunan makanan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam operasi berkenaan sebanyak lapan notis dikeluarkan melibatkan kompaun bernilai RM10,000 terhadap kedua-dua premis terbabit.

Katanya, notis penutupan premis selama dua minggu dikenakan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan kilang terbabit hanya boleh dibuka semula sekiranya pihaknya berpuas hati dengan tahap kebersihan serta penyelenggaraan.