Dasar awam perlu diperkukuh berasaskan penyelidikan, data sahih - KP SPRM

Abd Halim - FOTO: Bernama
Abd Halim - FOTO: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Pembentukan dasar awam perlu diperkukuhkan melalui penyelidikan berkualiti, data yang sahih dan analisis yang menyeluruh bagi memastikan setiap keputusan dibuat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pendekatan berkenaan selari dengan amalan evidence-based policymaking yang semakin diterima pakai di peringkat antarabangsa iaitu penggubalan dasar berasaskan bukti, data dan penilaian objektif.

Menurutnya, penyelidikan juga penting bagi mengenal pasti kelemahan sistem, menilai risiko, mengukur keberkesanan dasar serta mencadangkan penambahbaikan yang lebih mampan.

"Seterusnya dalam usaha merealisasikan aspirasi Malaysia Madani, pembentukan dasar awam perlu diperkukuhkan melalui penyelidikan yang berkualiti, data yang sahih dan analisis yang menyeluruh agar setiap keputusan yang dicapai benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya," katanya di sini, pada Khamis.

Abd Halim berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Jumaat.

Ujar beliau, persidangan bertemakan ‘Madani Pemangkin Tatakelola Berintegriti ke Arah Malaysia Bebas Rasuah’ itu selaras dengan konsep Malaysia Madani, khususnya teras strategik keempat iaitu ‘Mewujudkan Pentadbiran Beramanah’.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 50 tajuk penyelidikan berkaitan tatakelola, integriti dan antirasuah telah dipilih serta dilaksanakan oleh entiti penyelidikan tempatan melalui geran di bawah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sepanjang 2020 hingga 2025.

Katanya, hasil penyelidikan berkenaan bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu dan pengayaan wacana berkaitan tatakelola, malah membantu kerajaan serta pemegang taruh mengenal pasti risiko dan isu berkaitan rasuah.

“Saya berharap hasil Penyelidikan dan kompilasi ini akan terus dimanfaatkan sebagai sumber rujukan di dalam perumusan dasar, penambahbaikan sistem dan proses kerja," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pendekatan berasaskan bukti juga boleh membantu memastikan usaha penyelidikan tidak terhenti pada penghasilan pengetahuan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan dan penambahbaikan yang memberi impak kepada pengukuhan tatakelola, integriti dan pencegahan rasuah.

Abd Halim turut berharap persidangan itu dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara penyelidik dan pembuat dasar, selain menjadikan setiap dapatan kajian yang dibentangkan sebagai asas kepada penambahbaikan dasar, sistem dan proses kerja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!