MCMC teliti, kemuka kes berkaitan akaun WhatsApp kepada Meta

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti aduan orang ramai berhubung akaun WhatsApp yang dilaporkan digodam, disekat atau tidak lagi dapat diakses.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya telah mengemukakan kes berkenaan kepada Meta bagi mendapatkan penjelasan serta tindakan sewajarnya.
"MCMC akan terus memantau perkara ini dan mendapatkan kerjasama platform bagi melindungi kepentingan pengguna.
"Pengguna yang terjejas dinasihatkan supaya menggunakan saluran rasmi WhatsApp untuk pemulihan atau semakan akaun," menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, pengambilalihan akaun dan penyekatan akaun ialah dua perkara yang berbeza.
"Akaun yang telah diambil alih pihak tidak bertanggungjawab boleh disalahgunakan untuk penipuan, spam atau aktiviti yang melanggar syarat WhatsApp, dan seterusnya menyebabkan akaun berkenaan disekat oleh platform," menurut MCMC.
Suruhanjaya itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi kod pengesahan atau PIN keselamatan, mengaktifkan ciri Two-Step Verification serta mengelakkan pautan atau aplikasi mencurigakan.
MCMC mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak yang menawarkan perkhidmatan pemulihan akaun dengan meminta wang, maklumat peribadi atau kod pengesahan.
"Sekiranya masalah masih tidak dapat diselesaikan melalui saluran rasmi WhatsApp, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada MCMC untuk tindakan lanjut dan pengemukaan kes kepada Meta," menurut suruhanjaya itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
