Tiga perkara utama istilahkan ahli Parlimen lompat parti

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Rabu menjelaskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang ahli Parlimen melompat parti, dalam draf pentadbiran Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

Beliau berkata, apabila seorang ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya dan kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli bebas atau menyertai parti politik lain adalah dikirakan telah melompat parti.

"(Kedua) Seorang ahli Parlimen telah memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti juga dikirakan sebagai melompat parti. Ini bagi tujuan untuk memastikan ahli Parlimen patuh kepada perlembagaan dan peraturan serta disiplin parti.

"Parti yang memecat ahli Parlimen akan berhadapan risiko kehilangan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan semula," katanya menjawab soalan Senator Datuk John Ambrose di Dewan Negara, yang ingin tahu sejauh mana tindakan serta perancangan telah dirangka dalam melaksanakan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.

Wan Junaidi berkata, tindakan lompat parti itu juga termasuk bagi ahli Parlimen bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya.

Beliau berkata, ini kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan amanah yang dipilih oleh rakyat kerana semasa pilihan raya, rakyat memilih ahli Parlimen itu disebabkan beliau bertanding sebagai calon bebas serta berkemungkinan menolak calon lain.

“Sekiranya ahli Parlimen bebas menyertai mana-mana parti, pilihan raya perlu diadakan semula dan individu tersebut tidak hilang kelayakan untuk bertanding mewakili parti baharu dalam tempoh 60 hari beliau dipecat (sebagai ahli Parlimen) dan ia akan diumumkan oleh Dewan Rakyat sebagaimana tertakluk kepada Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Wan Junaidi berkata, jika rang undang-undang berkenaan diluluskan maka ia akan dikuatkuasakan secara prospektif dan bukannya retrospektif, malah majoriti ahli Parlimen bersetuju dengan draf pentadbiran rang undang-undang itu menerusi hasil sesi libat urus yang dilaksanakan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Secara ringkasnya, dengan penguatkuasaan rang undang-undang ini tindakan lompat parti dapat dicegah dengan pelaksanaan pilihan raya semula untuk memastikan mandat kembali kepada rakyat sekiranya berlaku lompat parti oleh ahli-ahli Parlimen," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, rang undang-undang yang sedang digubal itu mempunyai tiga pengecualian iaitu apabila parti politik terbubar dengan sendirinya maka ahli Parlimen daripada parti itu tidak diistilahkan sebagai lompat parti.

“Kedua, apabila seseorang itu (ahli Parlimen) dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat serta Dewan Negara dan keahlian dia dalam parti tidak dikatakan melompat parti dan dia kekal menjadi ahli.

“Ketiga, penggabungan antara parti dengan parti lain. Itu hak parti untuk bergabung. Contohnya dalam satu gabungan yang besar, satu parti hendak keluar daripada gabungan itu maka ia tidak diistilahkan sebagai lompat parti," katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Wan Junaidi berkata, rang undang-undang itu hanya akan melibatkan wakil rakyat sahaja dan bukan senator kerana ahli Parlimen mendapat mandat daripada rakyat di kawasan mereka dan ia perlu dilaksanakan.

“Undang-undang yang akan digubal ini merupakan satu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan akta yang khusus supaya ia kekal dan sukar dicabar.

“Sehubungan itu, penggubalan rang undang-undang ini perlu dilaksanakan dengan teliti supaya ia dapat diguna pakai untuk tempoh yang lama dan tidak mudah untuk dipinda,” katanya.

Wan Junaidi berkata, kerajaan telah melaksanakan enam sesi libat urus termasuk bersama ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang, Ahli Dewan Negara serta wakil parti politik bagi menjelaskan perkara-perkara dasar berkenaan rang undang-undang tersebut.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Transformasi dan Kestabilan Politik yang dijangka disertai wakil kerajaan dan pembangkang, untuk memperhalusi perkara-perkara utama berkenaan rang undang-undang itu juga akan bersidang.

Menurut Wan Junaidi, pada 24 Mac lepas beliau memaklumkan keputusan Perdana Menteri supaya satu Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membentangkan rang undang-undang itu dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri akan diadakan pada 11 April depan.

"Namun ia tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada 6 April ini," katanya. - Bernama