Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor perkembang suara anak muda

M Arip
M Arip
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor membuka had keahlian kepada golongan yang berumur 18 ke atas sebagai langkah memperkembangkan suara perjuangan anak muda dalam membela nasib orang Melayu.

Ketua Penerangannya, M Arip Kataman berkata, usaha itu juga bertujuan bagi mendidik dan menetapkan hala tuju yang baik untuk generasi muda.

“Kita sasarkan lebih ramai (keahlian) lebih bagus. Bila ahli kita ramai, maka suara ahli kita akan lebih kuat dan didengari oleh semua sebagai NGO,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, M Arip berkata, peranan anak muda sebagai golongan Undi18 juga tidak memberi impak yang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada baru-baru ini.

Menurutnya, ia berikutan golongan ini tidak mempunyai pendedahan yang meluas mengenai politik negara.

“Lagipun, jika di bandar mungkin ada yang mendapat pendedahan melalui platform Youtube dan sebagainya, tetapi yang berada di kampung itu, boleh dikatakan 20 peratus yang tidak tahu.

“Pertama sebab gajet mereka tidak canggih. Keduanya sebab masalah ‘line’ (jaringan) internet di kawasan kampung yang menyebabkan mereka susah nak dapatkan maklumat,” ujarnya.

“Itulah sebabnya kita sebagai Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor ini ingin mendekati anak muda dengan harapan supaya kita boleh memberi pendedahan kepada golongan Undi18,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor tidak akan mengabaikan perkara tersebut dan sedia membantu ahli-ahlinya terutamanya golongan muda.

“Kita akan bantu mereka dari segi pendidikan, hala tuju dan juga masa depan kerjaya mereka,” menurutnya.