Ahli perniagaan tidak mengaku minta rasuah setengah juta

Seorang ahli perniagaan tidak mengaku bersalah di mahkamah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah hampir RM500,000 pada 10 tahun lalu.
Seorang ahli perniagaan tidak mengaku bersalah di mahkamah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah hampir RM500,000 pada 10 tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Seorang ahli perniagaan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah hampir RM500,000, pada 10 tahun lalu.

Low Khim Seong, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa meminta suapan RM500,000 daripada seorang peguam berpangkat Datuk sebagai dorongan untuk memberi keterangan palsu.

Keterangan itu kelak akan memihak kepada peguam berkenaan dan seorang lagi lelaki yang terlibat dalam perbicaraan kes di Mahkamah Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa bersetuju menerima suapan RM300,000 dan menerima RM150,000 daripada peguam tersebut untuk tujuan sama.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Petaling Jaya dan Dataran Mentari, Bandar Sunway, di sini pada 14, 16 serta 24 Mei 2012.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

“Jumlah itu adalah munasabah kerana dia berdepan tiga pertuduhan yang serius selain memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah hingga kes selesai.

“Pendakwaan juga memohon agar dia dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Geethan Ram Vincent merayu, agar mahkamah dapat memberi kadar ikat jamin yang lebih munasabah memandangkan anak guamnya perlu menyara isteri dan anak-anak.

“Kami akur dengan syarat tambahan ang dicadangkan oleh pihak pendakwaan namun memohon agar penyerahan pasport dapat dibuat pada 20 Mei depan.

“Ini kerana anak guam saya perlu menemani ibunya ke China untuk menjalani pembedahan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin.

“Tertuduh juga dikehendaki memenuhi syarat-syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan namun mahkamah menolak permohonan pasukan pembelaan berhubung tarikh serahan pasport tersebut,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei depan untuk serahan dokumen.