Tiga kadar zakat fitrah di Pulau Pinang

Ahmad Zakiyuddin (tengah) bersama kepimpinan menunjukkan kadar zakat fitrah bagi tahun 2022.
Ahmad Zakiyuddin (tengah) bersama kepimpinan menunjukkan kadar zakat fitrah bagi tahun 2022.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bernilai RM7, RM 13 dan RM20 setiap seorang pada tahun ini.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, tiga ketegori ditetapkan bagi memberi peluang kepada umat Islam yang berkemampuan menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah mengikut kadar yang lebih tinggi iaitu RM20 seorang.

Menurutnya, kadar tertinggi itu ditetapkan bagi mereka yang makan jenis beras berkualiti tinggi seperti bastmathi dan setara dengannya.

"Bagi kumpulan majoriti yang memakan beras jenis 'super special' tempatan lima peratus, 'super special' tempatan 10 peratus, beras tempatan standard, beras tempatan premium atau lain-lain setara dengannya ditetapkan kadar RM7 seorang.

"RM13 pula dikhususkan bagi kumpulan yang memakan beras wangi, beras pulut atau yang setara dengannya," katanya dalam sidang akhbar di sini, selepas menghadiri Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah Pulau Pinang, pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali.

Ahmad Zakiyuddin berkata, pada tahun lalu ZPP berjaya memungut zakat sebanyak RM147.2 juta iaitu peningkatan sebanyak 12.5 peratus berbanding tahun 2020 yang disumbangkan oleh seramai 74,183 pembayar zakat.

Manakala bagi agihan pula, Ahmad Zakiyuddin berkata ZPP berjaya mengagihkan dana zakat sebanyak RM141.5 juta berbanding sebanyak RM126.6 juta iaitu peningkatan sebanyak 11.8 peratus.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, peningkatan ini juga merangkumi prestasi kutipan zakat fitrah yang meningkat sebanyak 9.4 peratus dan jumlah pembayar juga meningkat sebanyak 2.44 peratus berbanding tahun 2020.

"Peningkatan kutipan dan agihan zakat khususnya kutipan zakat fitrah di Pulau Pinang pada tahun 2021 memberi naratif yang jelas bertambahnya kepercayaan masyarakat Islam di Pulau Pinang terhadap ZPP.

"Diharap momentum ini berterusan bagi membolehkan ZPP mencapai sasaran kutipan zakat tahun 2022 sebanyak RM161.5 juta dan khususnya bagi sasaran kutipan zakat fitrah iaituRM6.5 juta," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata pada tahun ini ZPP melantik 1,709 orang amil yang ditauliahkan di seluruh Pulau Pinang dan 234 kariah ditetapkan sebagai pusat kutipan.

Sementara itu, Amran berkata pembayaran zakat fitrah melalui platfom digital dan dalam talian dilihat menurun apabila hanya sembilan peratus sahaja yang menggunakan medium itu berbanding 12 peratus pada tahun 2020.

Beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan dari semasa ke semasa di media sosial ZPP mengenai platfom dan applikasi digital yang akan digunakan bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah secara dalam talian.