PPR Klebang: Dua tahun terbengkalai, siap tahun depan

Projek PPR yang terbengkalai sejak empat tahun lalu dijangka siap pertengahan tahun depan. (Gambar kecil: Zulkifli)
Projek PPR yang terbengkalai sejak empat tahun lalu dijangka siap pertengahan tahun depan. (Gambar kecil: Zulkifli)
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri memberi jaminan masalah projek terbengkalai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang, di sini siap sepenuhnya dan boleh diduduki penyewa pertengahan tahun depan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan berkata, projek yang terbengkalai sejak tahun 2018 itu berpunca daripada pemaju yang tidak mampu bertahan ketika pandemik Covid-19 dan terpaksa melantik pemaju baharu.

Menurutnya, projek yang menyediakan 255 unit rumah itu sudah 90 peratus siap dan pemaju baharu perlu menyiapkan kerja-kerja pembinaan jalan masuk, kaki lima bangunan dan pendawaian elektrik.

"Bagi memastikan kelancaran projek, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM16 juta daripada Kementerian Kewangan dan kerja-kerja tambahan bermula awal Mei depan," katanya.

Zaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam memberitahu, penyusunan semula senarai nama akan dilakukan kerana projek itu sudah lama terbengkalai dan mungkin ada pemohon yang meninggal dunia.

Zaidi (tiga dari kiri) meninjau projek PPR Klebang yang terbengkalai sejak 2018 pada Selasa.
Zaidi (tiga dari kiri) meninjau projek PPR Klebang yang terbengkalai sejak 2018 pada Selasa.

Sementara itu bakal penyewa, Nur Azwani Lasim, 30, meletakkan harapan tinggi rumah PPR itu dapat disiapkan sepenuhnya seperti yang dijadualkan.

Nur Azwani yang hanya berniaga nasi lemak bersama suami sukar memiliki kediaman sendiri dan sehingga sekarang terpaksa menumpang rumah pusaka neneknya bersama beberapa ahli keluarga lain.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada dua anak itu juga mengakui tidak mampu menyewa rumah dan berharap dapat menduduki rumah PPR itu tahun depan.

Zulkifli Mohamed, 55, bersama keluarga juga terpaksa tinggal di rumah pusaka dan mengakui lebih selesa jika mempunyai kediaman sendiri terutama kepada isteri dan empat orang anak yang masih bersekolah.

"Lama saya tunggu projek ini siap. Lagi pun saya tak mampu beli rumah dan ini sahaja inisiatif saya untuk sediakan kediaman lebih baik kepada keluarga," katanya.