13,400 isi rumah terima manfaat program pertanian bandar

Razman ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Asmuni Awi (Amanah-Manjoi) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Selasa.
Razman ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Asmuni Awi (Amanah-Manjoi) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Program Pertanian Bandar telah memberi manfaat kepada 13,400 isi rumah di Perak sejak dilancarkan 2019 lalu, kata Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.

Beliau berkata, program yang memfokuskan kepada komuniti setempat secara berkelompok itu dilaksanakan kerajaan negeri bagi menampung bekalan makanan dan menjana pendapatan tambahan kepada komuniti bandar.

Menurutnya, Jabatan Pertanian dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) merupakan agensi yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program berkenaan.

"Di bawah Jabatan Pertanian, seramai 5,517 peserta terlibat meliputi komuniti sekolah sebanyak 72 buah sekolah, komuniti institusi (16) dan komuniti awam (14).

"Melalui PPPNP pula, program ini telah dilaksanakan di 34 lokasi dengan luas keseluruhan kawasan lebih tiga hektar melibatkan 7,540 isi rumah," katanya menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Asmuni Awi (Amanah-Manjoi) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Selasa.

Razman berkata, kerajaan negeri merancang untuk memperluaskan program pertanian bandar berikutan sambutan positif dalam kalangan agensi, institusi dan komuniti masyarakat sebagai satu sumber ekonomi komuniti yang menyumbang kepada keperluan makanan negara.

Katanya, dari aspek pemasaran, tidak timbul sebarang isu kerana ianya dipasarkan kepada komuniti setempat dan sehingga kini bekalan masih lagi berkurangan berbanding permintaan setempat.

"Kerajaan negeri melalui PPNNP dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk pembangunan pertanian bandar di kawasan Gunung Masoorat melibatkan keluasan tanah berjumlah tujuh hektar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, tiga dana perubatan kerajaan negeri iaitu Dana Perubatan Warga Emas (pembedahan kecil), Dana Perubatan Wanita (pembedahan tapak dialisis) dan Dana Perubatan Sinar (pembedahan katarak) akan diteruskan tahun ini.

Menurutnya, peruntukan bagi Dana Perubatan Warga Emas dengan kerjasama sebuah hospital swasta, Perak Community Speciallist Hospital (PCSH) ditambah 100 peratus tahun ini menjadikan jumlah peruntukan tahunan RM100,000 berbanding RM50,000 sebelum ini.

Jelasnya, Dana Perubatan Wanita yang diperkenalkan tahun lalu dengan kerjasama sebuah lagi hospital swasta, Hospital Pakar KPJ Ipoh turut diteruskan dengan peruntukan sama RM100,000.

"Kerajaan negeri melancarkan Dana Perubatan Sinar bulan lalu dengan menyediakan peruntukkan RM100,000 bagi membantu golongan B40 berusia 50 tahun keatas untuk mendapatkan rawatan penglihatan katarak di Hospital Ar Ridzuan di Ipoh.

"Berdasarkan sambutan yang baik daripada kalangan penerima, juga perkhidmatan cemerlang diberikan oleh hospital-hospital ini menyebabkan kerajaan negeri bersetuju untuk bekerjasama menjayakan ketiga-tiga dana perubatan ini," katanya menjawab soalan lisan Datuk Zainun Mat Noor (BN-Chenderoh).