DUN Perak perlu gubal undang-undang haramkan nikah bawah umur

Kor Ming mencelah pada sesi perbahasan Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari pada Sidang DUN Perak pada Selasa.
Kor Ming mencelah pada sesi perbahasan Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari pada Sidang DUN Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Pembangkang Perak mencadangkan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal dan meluluskan undang-undang mengharamkan pernikahan bawah umur.

Perkara itu dibangkitkan Nga Kor Ming (DAP-Aulong) yang menjelaskan bahawa kanak-kanak sepatutnya berada di sekolah dan bukan berada di atas pelamin.

Menurutnya, kanak-kanak perlu dilindungi masa depan mereka seperti mana yang digerakkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menentang perkahwinan bawah umur.

"Saya rasa ini masanya kita kena haramkan perkahwinan bawah umur. Saya perlu katakan pedofilia adalah salah, lindungi anak-anak kita daripada perkahwinan di bawah umur.

"Dewan Negeri ini mempunyai tanggungjawab sebagai Dewan Perundangan luluskan undang-undang supaya perkahwinan di bawah umur tidak dibenarkan di negeri Perak yang tercinta ini," katanya mencelah pada sesi perbahasan Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari pada Sidang DUN Perak pada Selasa.

Beliau berkata, jika semua pihak tidak menyukai buruh kanak-kanak maka amat wajar perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak diharamkan.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming mencadangkan supaya jumlah tabung bencana daerah ditingkatkan sehingga 10 kali ganda memandangkan nilai bantuan segera yang diberikan amat kecil.

Menurutnya, mengambil kira kejadian ribut yang merosakkan rumah penduduk di Kampung Tawas, di sini pada 30 Januari lalu, jumlah RM300 bantuan kerajaan kepada mangsa ribut tidak mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Saya di sini ingin mengambil kesempatan mencadangkan kepada kerajaan supaya tabung bencana di pejabat daerah perlu ditingkatkan daripada RM60,000 yang ada sekurang-kurangnya 10 kali ganda.

"Setiap daerah perlu mempunyai tabung bencana sekurang-kurangnya RM500,000 supaya bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan segera," katanya.

Katanya, ketika kejadian ribut di Kampung Tawas itu, pasukan khidmat bantuan bencana yang digerakkan DAP Perak menjalankan kutipan dana sebanyak RM280,000 bagi membantu mangsa disebabkan bantuan kerajaan yang tidak mencukupi.