Dua pemuda mengaku tak bersalah rogol remaja bawah umur

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MUAR - Dua pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur di sebuah rumah dan hotel di daerah ini hujung bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 21 tahun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Parit Jawa dan hotel di bandar ini, pada 30 dan 31 Mei lalu.

Mangsa dilaporkan mengenali kedua-dua tertuduh, kemudian membuat laporan di Balai Polis Muar, pada keesokan hari.

Bertindak atas laporan dibuat, polis berjaya menahan kedua-dua tertuduh untuk membantu siasatan.

Tertuduh kemudian didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Sementara itu, peguam Farid Aziz ketika dihubungi berkata, berikutan pengakuan tidak bersalah dibuat anak guamnya, mahkamah menetapkan 2 Ogos depan untuk tarikh sebutan kes serta penyerahan laporan perubatan.