KKM syor kanak-kanak segera divaksin sebelum 1 April

Sebanyak 1,315,497 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 menerusi PICKids. - Gambar hiasan
Sebanyak 1,315,497 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 menerusi PICKids. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan supaya kanak-kanak yang belum mendapatkan vaksin agar berbuat demikian menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dengan kadar segera sebelum negara beralih ke fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan pada Selasa berkata, langkah itu bagi memastikan kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun mendapat perlindungan daripada jangkitan teruk dan komplikasi Covid-19.

Beliau berkata, terdapat dalam kalangan ibu bapa menganggap semasa fasa peralihan ini, kanak-kanak dalam lingkungan umur berkenaan tidak perlu lagi diberi vaksinasi, namun pada hakikatnya, terdapat peningkatan 160 peratus bilangan kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital pada tahun ini.

"Ibu bapa diminta mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan pautan janji temu atau membawa anak lima hingga bawah 12 tahun secara ‘walk-in’ ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah diberitahu sebelum ini.

"Pilihlah untuk vaksinkan anak kerana manfaatnya lebih besar daripada risiko mendapat kesan sampingan vaksin," katanya.

Dr Noor Azmi berkata, ibu bapa yang membawa anak mereka ke PPV Covid-19 pada hari bekerja akan diberikan surat pengesahan kehadiran (time-slip) yang membuktikan mereka membawa anak untuk divaksin.

Justeru, beliau berharap majikan sektor kerajaan dan swasta memberi kerjasama dalam hal itu.

Pada Isnin, sebanyak 1,315,497 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau 37.1 peratus populasi itu di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 menerusi PICKids. - Bernama

Artikel Berkaitan: