Anggota bomba melecur terkena letupan

Kesan melecur kecil di bahagian belakang leher salah seorang anggota bomba terlibat. Gambar kanan: Kebakaran melibatkan sebuah rumah flat di tingkat tiga di Sungai Pinang tengah malam tadi.
Kesan melecur kecil di bahagian belakang leher salah seorang anggota bomba terlibat. Gambar kanan: Kebakaran melibatkan sebuah rumah flat di tingkat tiga di Sungai Pinang tengah malam tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang anggota bomba mengalami luka kecil ketika menjalankan kerja pemadaman api di sebuah rumah flat di Sungai Pinang, awal pagi tadi.

Jurucakap bomba berkata, anggota terbabit hanya melecur di bahagian belakang leher akibat terkena letupan kecil ketika usaha memadamkan kebakaran di rumah tersebut.

Menurutnya, mangsa tidak dibawa ke hospital kerana kesan lecur yang dialaminya tidak serius.

"Kesan lecur itu sikit sahaja, hanya di belakang leher dan dia tidak dibawa ke hospital. Dalam kejadian tadi, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.35 tengah malam dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah flat di tingkat tiga yang mana, 90 peratus rumah berkenaan hangus. Ketika kejadian, tiada penghuni berada dalam kediaman terbabit dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi tadi.

Tambahnya, seramai 27 anggota melibatkan Balai Bomba Jalan Perak dan Lebuh Pantai dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Ketika kami menjalankan kerja pemadaman, berlaku tiga siri letupan kecil dipercayai akibat tekanan oksigen. Ia dipercayai berlaku kerana ada bilik yang tertutup dan apabila penggunaan air yang banyak digunakan, ia menghasilkan oksigen yang tinggi, menyebabkan letupan kecil berlaku.

"Salah satu letupan itu terkena pada seorang anggota bomba namun tidak serius. Hasil siasatan awal, tiada barang-barang berisiko tinggi disimpan dalam rumah berkenaan. Semua anggota bomba terlibat memakai pakaian perlindungan dan alat pernafasan ketika memadamkan kebakaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebuah rumah di tingkat empat flat terbabit turut terkena api namun hanya melibatkan kebakaran pada langsir sahaja.

Tambahnya, punca kebakaran masih disiasat.