Empangan Nenggiri: Kerajaan sudah lunas pampasan kepada Orang Asli

Takiyuddin (kiri) menerima sumbangan daripada TNB Kelantan/Terengganu yang disampaikan oleh Pengurus Besar, Mustaphakamal Yaakob (dua dari kanan) di Kota Bharu pada Ahad.
Takiyuddin (kiri) menerima sumbangan daripada TNB Kelantan/Terengganu yang disampaikan oleh Pengurus Besar, Mustaphakamal Yaakob (dua dari kanan) di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan telah melunaskan semua bayaran pampasan kepada masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bayaran pampasan itu secara tidak langsung menangkis tohmahan segelintir pihak mengatakan kerajaan kurang mementingkan aspek kebajikan Orang Asli.

"Pelbagai program libat urus antara pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan masyarakat Orang Asli.

"Jadi saya harap pihak-pihak berkenaan lebih bertanggungjawab dalam melontarkan apa-apa tohmahan kepada pihak kerajaan dan TNB," katanya selepas merasmikan Hari Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Kota Bharu di sini pada Ahad.

Takiyuddin berkata, tindakan yang diambil oleh kerajaan dan TNB adalah berlandaskan undang-undang.

Jelasnya, undang-undang memperuntukkan kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tanah kepunyaan individu tanpa pampasan sepatutnya.

Pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang yang dijangka beroperasi pada tahun 2026 bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) kepada Grid Nasional apabila siap kelak.

Pembinaan tersebut juga membawa manfaat dalam menyelesaikan isu kesejahteraan rakyat Kelantan terutama banjir.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, kapasiti penjanaan elektrik TNB di Semenanjung Malaysia ketika ini merangkumi 18 peratus hidroelektrik (2,536 Megawatt (MW)), 0.6 peratus solar (80 MW), 48.2 peratus arang batu (6,800 MW) dan 33.3 peratus gas (4,702.43 MW).