X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Projek hidroelektrik Nenggiri tingkat kapasiti RE

Takiyuddin (tengah) menyaksikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din (kanan) menyerahkan dokumen perjanjian pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Projek Hidroelektrik Nenggiri Dan Penyerahan Cek Pampasan di Pejabat Menteri Besar Kelantan, Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu di sini pada Selasa.
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang yang dijangka beroperasi pada 2026 akan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) selain membawa manfaat dalam menyelesaikan isu kesejahteraan rakyat Kelantan terutama banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Baharin Din berkata, seperti empangan-empangan lain milik TNB iaitu di Skim Hidroelektrik Cameron

Highlands, Sungai Perak dan Kenyir, empangan Nenggiri bakal memberi manfaat tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh.

“Air yang ditakung dalam tasik takungan utamanya akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam Sungai Nenggiri dan dapat membantu mengawal banjir di hilir empangan ini.

“Selain itu, ia dapat membantu kerajaan Kelantan mengatasi isu pembekalan air bersih, pengairan untuk pertanian dan membuka peluang pekerjaan ketika pembinaannya serta mewujudkan peluang ekonomi baru di tasik takungan utamanya,” kata beliau pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Projek Pembinaan Empangan Nenggiri dan Penyerahan Cek Pampasan di Pejabat Menteri Besar Kelantan di sini pada Selasa lalu.

Majlis disaksikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Bentara Kanan Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Baharin berkata, projek empangan hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion itu akan menyalurkan 300 megawatt (MW) tenaga kepada Grid Nasional.

”Empangan tersebut akan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu (RE) TNB, sejajar menjadi penggerak utama peralihan industri tenaga negara seterusnya mengukuhkan usaha TNB memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara.

“Seperti dibuktikan di Tasik Banding di Perak (Empangan Temengor) dan Tasik Kenyir di Terengganu (Empangan Sultan Mahmud), penduduk setempat juga akan meraih manfaat ekonomi terutamanya daripada sektor pelancongan, rekreasi, pertanian, perniagaan kecil serta pembangunan prasarana,” katanya.

Menurut beliau, projek ini menyokong aspirasi tenaga lestari TNB menuju ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050 yang dipacu oleh komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 35 peratus peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

"Justeru, pembinaan tersebut menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga hijau negara kepada 40 peratus pada tahun 2035.

“Projek ini amanah TNB kepada rakyat terutama peranan dan komitmen TNB terhadap alam sekitar. Lantaran itu, TNB melaksanakan kesemua kerja-kerja awalan dan kajian-kajian yang diperlukan untuk membangunkan projek ini selepas

memperoleh semua kelulusan yang diperlukan seperti Kajian Potensi Mineral, Kajian Penerimaan Awam, Kajian Impak Alam Sekeliling (EIA), Kajian Impak Sosial dan Kajian Impak Warisan,“ katanya.

Tambah beliau, komuniti orang asli yang terlibat secara langsung dengan projek itu khususnya dari Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kampung Wias akan dipindahkan ke penempatan baharu dengan infrastruktur dan keperluan asas yang lebih baik serta selesa.

“Mereka juga akan diberikan pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan sosio-ekonomi mereka dengan kerjasama kerajaan Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa)," katanya.

Untuk rekod, kapasiti penjanaan elektrik TNB di Semenanjung Malausia ketika ini merangkumi 18 peratus hidroelektrik (2,536 Megawatt (MW)), 0.6 peratus solar (80 MW), 48.2 peratus arang batu (6,800 MW) dan 33.3 peratus gas (4,702.43 MW).


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!