205 terima tawaran kerja dalam tempoh dua hari

Mohd Nurkhuzaini (dua dari kiri) mengiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis perasmian Karnival Usahawan Terengganu di jambatan angkat pada Ahad.
Mohd Nurkhuzaini (dua dari kiri) mengiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis perasmian Karnival Usahawan Terengganu di jambatan angkat pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Seramai 205 daripada 265 calon yang telah menghadiri sesi temuduga berjaya menerima tawaran kerja sepanjang tempoh dua hari Program Gerbang Kerjaya sempena Karnival Usahawan Terengganu (KUAT) di dataran jambatan angkat, di sini.

Program yang bermula selama lima hari bermula 24 hingga 28 Mac itu menawarkan 3,070 peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat Terengganu.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sebanyak tujuh syarikat terlibat dalam karnival itu dengan lima daripadanya menawarkan 1,870 pekerjaan dalam negeri.

"Kita harap ramai pencari kerja akan hadir sepanjang karnival ini dan berjaya mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemahiran mereka.

"Sama ada dia pilih untuk duduk dalam atau luar Terengganu bagi saya ia tidak menjadi masalah. Kita kerajaan mahu menyelesaikan masalah rakyat dengan menyediakan seberapa banyak peluang pekerjaan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perasmian karnival itu pada Ahad.

Antara syarikat terlibat ialah Eastern Steel Sdn Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Mc Donald's, Encompass Industries Sdn Bhd, APTIV, MyBrush dan Samsung Electronics (M) Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan: