'Kita baharu habis PAU, rehatlah dulu' – Mahdzir

(Dari kiri) Ismail Sabri, Mohamad Hasan, Ahmad Zahid Hamidi, Mahdzir Khalid dan Mohamed Khaled menjulang tangan mereka selepas selesai ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 19 Mac lalu.
(Dari kiri) Ismail Sabri, Mohamad Hasan, Ahmad Zahid Hamidi, Mahdzir Khalid dan Mohamed Khaled menjulang tangan mereka selepas selesai ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 19 Mac lalu.
A
A
A

KUALA NERANG - Perbincangan mengenai penetapan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) belum diadakan setakat ini.

Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid selepas wujud beberapa spekulasi berhubung pembubaran Parlimen akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perkara itu perlu diberikan tempoh masa susulan parti itu baharu sahaja selesai mengadakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Kita baharu habis PAU, rehatlah dulu,” katanya ringkas pada sidang akhbar selepas program Risda Prihatin Pekebun Kecil Makmur di Dewan Istiqlal, Masjid Tengku Sharafuddin Badlishah di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mengesahkan tiada sebarang perbincangan berkenaan pembubaran Parlimen dibuat pada pertemuan yang melibatkan menteri dan timbalan menteri UMNO, di Putrajaya pada Jumaat.

Khairy menegaskan, pertemuan tersebut hanya sesi bersarapan pagi bersama sebelum Mesyuarat Kabinet.

Spekulasi terbabit dikatakan berlaku selepas dilaporkan satu pertemuan antara menteri-menteri daripada UMNO berlangsung di sebuah hotel terkemuka pada Jumaat.

Antara yang dilihat hadir pada sesi pertemuan berkenaan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Saddiq.

Artikel Berkaitan:

Pada 19 Mac, perwakilan UMNO telah memberi mandat kepada lima pemimpin utama parti untuk mengadakan perbincangan mengenai penetapan tarikh PRU15.

Lima pemimpin utama parti tersebut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ahmad Zahid turut memaklumkan, kelima-lima pemimpin berkenaan termasuk dirinya akan menetapkan tarikh tersebut sebelum dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk dijadikan sebagai ketetapan parti.