Pecat menteri, timbalan menteri tidak hadir undi usul Sosma: Ku Li

Tengku Razaleigh (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Melayu Perak kesembilan di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Taman Cempaka, Ipoh pada Sabtu.
Tengku Razaleigh (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Melayu Perak kesembilan di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Taman Cempaka, Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir ketika sesi pengundian usul kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) pada 23 Mac lalu di Parlimen wajar dipecat.

Gesaan itu dikemukakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menganggap penolakan usul kerajaan itu tidak sepatutnya berlaku jika anggota kabinet hadir di Dewan Rakyat.

Menurutnya, mengikut praktis demokrasi berparlimen, menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir pada sesi pengundian usul tersebut sepatutnya dipecat.

"Sepatutnya tak boleh kalah usul yang kerajaan buat (bentangkan). Sosma satu usul yang penting soal keselamatan negara, macam mana boleh ditolak dan menteri-menteri tak hadir. Menteri-menteri kena berhenti (letak jawatan) semua. Perdana menteri mesti pecat menteri, timbalan menteri yang tak hadir.

"Mereka mesti dipecat daripada kerajaan kerana mereka cuai, ia 'collective responsibility' apabila usul seumpama itu nak jaga keselamatan negara tak diendah, tak dipeduli sehingga ditolak oleh Dewan Rakyat, bererti menteri itu tak bertanggungjawab, simpan buat apa?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Melayu Perak kesembilan di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Taman Cempaka di sini pada Sabtu.

Tengku Razaleigh bagaimanapun mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mampu mengambil tindakan tersebut kerana kedudukan di dalam kabinet sangat rapuh.

Katanya, tindakan memecat anggota kabinet akan mengakibatkan kehilangan sokongan untuk Ismail Sabri kekal menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, sepanjang menjadi ahli Parlimen, belum pernah keadaan seumpama itu berlaku.

Artikel Berkaitan:

Usul kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan gagal mendapat undi belah bahagi di Dewan Rakyat pada Rabu.

Usul yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah dibahaskan oleh 19 ahli Parlimen yang mengambil bahagian.

Selepas keputusan undian belah bahagi, hanya 85 Ahli Parlimen yang menyokong, manakala 86 lagi menolak, selain 50 lagi tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Subseksyen itu bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah Sosma sehingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.