[VIDEO] Kerajaan Johor tampil 100 peratus Exco muka baharu

Onn Hafiz bersama-sama 10 Exco yang baharu dilantik di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana, Johor Bahru pada Sabtu.
Onn Hafiz bersama-sama 10 Exco yang baharu dilantik di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menampilkan 100 peratus muka baharu bagi semua jawatan untuk 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi penggal 2022 hingga 2026.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu, daripada jumlah tersebut sebanyak 70 peratus adalah dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) muda.

"Tahniah kepada ADUN-ADUN yang dilantik sebagai Exco Johor dan telah mengangkat sumpah memegang jawatan masing-masing di hadapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sebentar tadi.

"Barisan Exco ini merupakan gabungan antara pemimpin-pemimpin yang sarat dengan pengalaman bersama dengan pemimpin-pemimpin muda yang berilmu dan berketrampilan," katanya pada sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di sini pada Sabtu.

Katanya, barisan Exco itu juga dibarisi pemimpin pelbagai kaum dan mengambil kira keseimbangan jantina yang mencerminkan wajah sebenar bangsa Johor.

Beliau yakin barisan Exco yang dilantik berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

"Saya sedar dan insaf, cabaran yang menanti di hadapan adalah amat besar dan mencabar, terutama ketika kita masih lagi bertarung dengan pandemik Covid-19.

"Namun, saya bersama barisan ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor, dibantu oleh pegawai dan kakitangan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau dan barisan Exco baharu nekad bekerja keras memenuhi segala janji yang telah dibuat Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Menurutnya, Lima Ikhtiar BN Johor iaitu Kemajuan Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat, Orang Muda Johor, Pentadbiran Berintegriti dan Reformasi Politik pasti akan dilaksanakan kelak serta menjadi keutamaan Johor.

Teras kerajaan negeri baharu itu katanya, akan menekankan konsep bangsa Johor yang akan memastikan semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang terlibat sama dalam membangunkan negeri ini.

Belaiu berkata, aspek kebajikan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan rakyat akan menjadi keutamaan serta fokus kerajaan negeri ini.

"Justeru, saya bersama-sama barisan Exco yang baharu ini amat memerlukan sokongan dan doa setiap daripada anda, bangsa Johor, dalam menggalas amanah dan tanggungjawab ini.

"Jika kita bersama, saya yakin dan percaya tiada gunung yang terlalu tinggi untuk didaki, tiada lurah yang terlalu curam untuk dituruni, insya-ALLAH," katanya.