'Ini bukan tempoh bulan madu, kekal fokus' - Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim ketika bertemu Exco Johor yang baharu mengangkat sumpah pada Sabtu. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim ketika bertemu Exco Johor yang baharu mengangkat sumpah pada Sabtu. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah tugas barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor sudah pun bermula dari saat mengangkat sumpah jawatan pada Sabtu.

Baginda menegaskan, Exco perlu kekal fokus dalam melaksanakan janji atau ikhtiar yang telah dibuat dalam kempen pilihan raya mengikut portfolio masing-masing, sentiasa bertanggungjawab, jujur serta amanah.

“Jalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.

"Tugas anda sudah pun bermula dari saat ini," titah baginda menerusi muat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Sabtu.

Titah baginda, kepentingan negeri dan rakyat mesti diutamakan. Exco harus bekerjasama dengan semua pihak dan jangan lupa bahawa mereka (Exco) wakil rakyat di kawasan masing-masing.

"Rajin-rajinlah balik dan bertemu mereka, bukan hanya muncul masa kempen atau terlalu selesa di pejabat sahaja. Ini bukan lagi masa ‘berbulan madu’.

“Masa kempen kamu telah berjanji kepada mereka, sekarang inilah masa untuk tunaikan sebaiknya, bekerja dengan penuh dedikasi," titah Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah, prestasi semua Exco akan sentiasa dipantau.

Artikel Berkaitan:

“Semua Exco sudah diberikan portfolio masing-masing. Jalankan tugas anda dengan sebaiknya jika tidak mahu diganti oleh calon lain,” titah baginda.