Ahli Parlimen perlu peka proses Dewan Rakyat

Dr Shamrahayu ketika menjadi panelis Program Wacana Sinar Edisi 332 yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat
Dr Shamrahayu ketika menjadi panelis Program Wacana Sinar Edisi 332 yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen perlu peka mengenai proses penting yang berlaku di Dewan Rakyat dan wajib hadir menyertai perbahasan berhubung sesuatu pindaan akta atau perkara berkaitan perundangan negara.

Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, golongan tersebut merupakan penggubal undang-undang dan bukan hanya sekadar wakil rakyat yang dipilih ketika Pilihan Raya Umum (PRU).

“Apabila ahli Parlimen dipilih oleh rakyat, mereka bukan wakil rakyat tetapi (sebagai) penggubal undang-undang.

“Apabila mereka tidak hadir menyebabkan undang-undang penting seperti ini, mengenai keselamatan tidak dapat diundi dan dimenangi, atau diluluskan, maka kesannya adalah terhadap keselamatan negara dan keupayaan pasukan keselamatan untuk melaksanakan penyiasatan.

“Saya pernah komen kehadiran (ahli Parlimen) bahawa (mereka) perlu mengetahui bila hari mengundi, bahas, bincang. Kena pastikan tahu mengenai proses penting yang sedang berlaku di Dewan,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-332 bertajuk ‘Langgar MoU, PRU15 Menanti’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Turut menjadi panelis, penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Akmal Salleh dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, usul melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan gagal diluluskan Dewan Rakyat ekoran 85 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil mendedahkan seramai 31 ahli Parlimen kerajaan tidak hadir untuk menyokong usul tersebut pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Shamrahayu berkata, ahli Parlimen perlu memberi keutamaan kepada proses penggubalan sesuatu perundangan ketika dibahaskan di Dewan Rakyat terutama yang melibatkan keselamatan rakyat dan negara.

“Saya faham kerja mereka banyak, itu adalah kerja hakiki seorang wakil rakyat tetapi jika bertembung, ‘priority’ mesti diberikan kepada proses penggubalan undian dalam Parlimen.

“Sosma bukan isu sebelah mata, ia melibatkan keselamatan negara. Sekiranya pihak berkuasa terpaksa melepaskan atau tidak menuduh seseorang itu dalam mahkamah kerana penyiasatan tidak selesai, maka ia akan membahayakan negara, keselamatan rakyat dan ketenteraman awam

“Proses penggubalan undang-undang bukan proses main-main, bukan dilihat sebelah mata. Ia perjudian tentang keselamatan negara.

"Sosma merupakan proses seumpama menggantikan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), saya tidak boleh terima bahawa wakil rakyat mempunyai kerja lebih penting daripada isu keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Justeru ujarnya, kerajaan perlu menambah baik pelaksanaan undang-undang berkaitan mewajibkan kehadiran semua ahli Parlimen ke Dewan Rakyat ketika sesuatu pindaan akta dibahaskan bagi memastikan golongan itu memberi komitmen yang tinggi setelah diberi mandat oleh rakyat.