Wajib pasang AED di bangunan kerajaan pada 2025

Khairy (kiri) melihat peralatan yang digunakan dalam ambulans ketika sesi lawatan di Ibu Pejabat PBSMM di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Khairy (kiri) melihat peralatan yang digunakan dalam ambulans ketika sesi lawatan di Ibu Pejabat PBSMM di Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mewajibkan pemasangan peranti defibrilator luaran automatik (AED) di semua bangunan serta fasiliti kerajaan seluruh negara pada 2025.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan tersebut diputuskan ketika Mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

Katanya, ketetapan itu juga akan dibawa ke Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) bagi tujuan formaliti dan membolehkan undang-undang kerajaan tempatan dapat dipinda supaya pemasangan AED turut melibatkan premis swasta yang baharu.

"Pada fasa pertama 2022 hingga 2024, penyediaan AED di fasiliti awam dan swasta adalah secara sukarela oleh pemilik premis.

"Mulai 2025, semua fasiliti awam diwajibkan memasang AED berikutan serangan jantung adalah pembunuh utama ketika ini," katanya pada sidang akhbar selepas sesi lawatan di Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSSM) di sini pada Jumaat.

Pada sesi lawatan tersebut, Khairy turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi pemasangan 100 AED di 16 negeri dan wilayah, selain RM5 juta bagi pelaksanaan Projek Ambulans Hotspots yang diperluaskan ke 15 lokasi seluruh negara menjelang 1 Jun ini.

Dalam pada itu katanya, pemasangan AED menerusi Jaringan MyAED Komuniti akan digandakan dari masa ke masa, selain program kesedaran di sekolah oleh PBSSM dan St John Ambulans Malaysia.

"Waktu kritikal bagi menyelamatkan mangsa serangan jantung adalah pada 10 minit selepas serangan dan kalau dapat gunakan AED, kadar pesakit untuk diselamatkan dan hidup adalah tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai dos penggalak, Khairy menegaskan, penerima vaksin Sinovac dan golongan warga emas yang tidak mengambil dos penggalak menjelang 1 April ini tidak layak menikmati kemudahan seperti individu bervaksinasi lengkap.

"Kalau selepas 1 April mereka (penerima vaksin Sinovac) ambil 'booster,' serta-merta (sijil MySejahtera) dilengkapkan semula.

"Kita kena cuba pujuk mereka, bukan sahaja (kerana) kemudahan, tetapi kesan dan kebaikan yang mereka dapat daripada dos penggalak," ujarnya.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara St John Ambulans Malaysia dan PBSSM bagi tujuan peranan bersama khasnya dalam bidang perkhidmatan kecemasan.