Rosmah nafi terima kalung berlian merah jambu RM97.2 juta

Rosmah menegaskan bahawa beliau tidak pernah menerima kalung bertatahkan berlian merah jambu atau meminta barangan kemas tersebut.
Rosmah menegaskan bahawa beliau tidak pernah menerima kalung bertatahkan berlian merah jambu atau meminta barangan kemas tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan bahawa beliau tidak pernah menerima kalung bertatahkan berlian merah jambu atau meminta barangan kemas tersebut.

Peguamnya, Datuk Geethan Ram Vincent berkata, Rosmah tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai invois barangan kemas yang ditunjukkan dalam perbicaraan kes membabitkan pegawai bank, Roger Ng di Amerika Syarikat.

Tambahnya, tindakan mengemukakan invois pada berbicaraan tersebut tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa Rosmah terlibat dalam pembelian kalung berlian merah jambu itu.

“Tindakan mensensasikan isu ini adalah satu lagi tindakan politik tidak bermaruah untuk memfitnah anak guam kami dan suaminya

“Memetik Margaret Thatcher, jika mereka serang secara peribadi ia bermaksud mereka tidak punya satu pun hujah politik yang tinggal,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, juri dalam perbicaraan kes bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng akhirnya melihat bukti kukuh tentang barangan kemas yang dibeli dengan wang dicuri daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia didedahkan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu yang turut mengaitkan penglibatan Rosmah yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membeli kalung berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM97.2 juta) dihasilkan Lorraine Schwartz.

Mengulas lanjut, Geethan berkata, Rosmah dan Najib hanya mengetahui bahawa putera Arab Saudi bernama Sheikh Mansour Zayed ingin menghadiahkan kalung tersebut kepada bekas Wanita Pertama Malaysia itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, walau bagaimanapun, mereka tidak pernah mengetahui nilai sebenar barangan kemas itu.

“Adalah penting untuk dinyatakan bahawa anak guam kami (Rosmah) tidak pernah menerima kalung berlian merah jambu itu.

“Walaupun selepas beberapa serbuan dibuat oleh pihak berkuasa, kalung itu tidak pernah ditemukan dalam pemilikan anak guam kami,” ujarnya.